BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Anwar, Kerajaan mohon nama digugurkan dalam semakan kehakiman Mukhriz

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan memohon Mahkamah Tinggi membatalkan nama mereka daripada semakan kehakiman yang difailkan oleh Datuk Seri Mukhriz Mahathir berhubung Notis Taksiran Tambahan dikeluarkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadapnya.

Menerusi notis permohonan yang difailkan, Anwar dan kerajaan meminta nama mereka dikeluarkan daripada semakan kehakiman bertarikh 20 Disember 2024, termasuk pernyataan berkaitan di bawah Aturan 53(2) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 serta afidavit sokongan Mukhriz.

Memetik laporan NST online, mereka turut memohon agar semua prosiding dalam semakan kehakiman itu ditangguhkan sehingga permohonan berkenaan diputuskan oleh mahkamah, selain kos serta perintah lain yang difikirkan sesuai.

Mukhriz, yang juga Presiden Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), sebelum itu memfailkan semakan kehakiman bagi membatalkan keputusan LHDN yang dikeluarkan menerusi surat bertarikh 27 September tahun lalu.

Notis tersebut melibatkan tuntutan cukai tambahan berjumlah RM2.55 juta bagi tahun 2017, RM2.44 juta bagi tahun 2018, dan RM16,826 bagi tahun 2019.

Pada 2 Januari lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan Mukhriz memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keabsahan notis tambahan itu atas alasan ia terbatal, ultra vires dan menyalahi undang-undang.

Namun, Anwar dan kerajaan dalam permohonan mereka menyifatkan tindakan Mukhriz menamakan mereka dalam semakan kehakiman itu sebagai “mengganggu, remeh dan satu penyalahgunaan proses mahkamah.”

“Sehubungan itu, tindakan ini tidak boleh dikekalkan dan wajar dibatalkan oleh mahkamah,” memetik laporan NST Online.

Mukhriz dalam permohonannya sebelum ini turut mendakwa Anwar menyalahgunakan kuasa dengan menyebabkan LHDN mengeluarkan Notis Taksiran Tambahan serta sijil di bawah Subseksyen 104(1) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Mahkamah dijangka mendengar permohonan Anwar dan kerajaan bagi membatalkan nama mereka dalam kes ini dalam masa terdekat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button