Anggota polis putus urat tangan ketika bergelut dengan penagih dadah
TELUK INTAN – Seorang anggota polis putus urat pergelangan tangan manakala seorang lagi cedera pada bahagian tangan selepas bergelut dengan seorang lelaki dipercayai penagih dan juga pengedar dadah di Taman Melati, Padang Tembak di sini, semalam.
Dalam kejadian pada pukul 5.45 petang itu, Koperal Mohd Rasyidi Che Ross putus urat pergelangan tangan kiri manakala Inspektor Tie Ngie Sieng cedera pada tangan kiri.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, kejadian berlaku ketika serbuan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dari Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak itu ke rumah suspek berusia 43 tahun selepas menerima aduan penyalahgunaan dadah.
“Ketika serbuan suspek yang enggan memberi kerjasama telah mengamuk menggunakan parang dan bertindak memecahkan cermin pintu rumah.
“Polis terpaksa memotong mangga pintu rumah dan berlaku pergelutan menyebabkan kedua-dua anggota dan suspek cedera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azizi berkata, pemeriksaan lanjut menemui dadah jenis ganja seberat 84.72 gram dan methamphetamin seberat 5.54 gram.
Beliau berkata, suspek yang ditahan didapati positif penggunaan dadah jenis methamphetamin.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39A(1), 39A(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan, Seksyen 324 kerana sengaja menyebabkan kecederaan dan Seksyen 186 iaitu menghalang tugas penjawat awam,” katanya.
Menurut Azizi, kedua-dua anggota dirawat di Hospital Teluk Intan.
“Rasyidi akan menjalani pembedahan bagi menyambung urat pergelangan tangan,” katanya.

| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






