
‘Anak syurga’ Rahmad Mega meninggal dunia
KUALA LUMPUR – Anak perempuan kepada Rahmat Mega, vokalis kumpulan Mega, iaitu Nur Ara Elisya, 15, yang menderita akibat penyakit tulang belakang bengkok dilaporkan meninggal dunia hari ini.
Berita itu disampaikan oleh Rahmad dalam satu pengumuman melalui rakaman video di akaun media sosialnya kira-kira sejam setengah yang lalu.
“Saya mohon maaf kepada semua kerana terpaksa pulang segera ke Semenanjung Malaysia. Anak saya, Nur Ara Elisya, telah meninggal dunia,” katanya sebaik sahaja menerima berita sedih itu.
Rahmad ketika itu berada di Betong, Sarawak.
Nur Ara Elisya, anak hasil perkahwinan Rahmad dengan isterinya, Ainina Ahmad B pada Februari lalu menjalani pembedahan tulang belakang bagi merawat sindrom Prader-Willi yang dialaminya sejak lahir di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HUKM)
Menurut Rahmad, masalah skoliosis kronik (bengkok tulang belakang) yang dihadapi anaknya itu lebih teruk daripada yang dialami penyanyi terkenal, Zamani Slam.
Keadaan tulang belakang Allahyarham dilaporkan membengkok sehingga 140 darjah sehingga menjejaskan pertumbuhan serta perkembangan mentalnya.
Pembedahan tersebut dilakukan sebagai usaha meluruskan tulang belakang demi memberi keselesaan dan kualiti hidup yang lebih baik kepada remaja itu, namun komplikasi selepas rawatan menyebabkan keadaannya merosot.
Rahmad sebelum ini pernah berkongsi kisah penderitaan anaknya itu di media sosial dan menerima sokongan serta sumbangan daripada peminat serta rakan-rakan artis.
Dua hari lalu, Rahmad dilaporkan menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) dalam satu majlis penyerahan borang keahlian parti yang dihadiri Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |