Pemungut kelapa sawit buat komen jelik anak Dr Amalina didenda RM3,000
SEPANG – Seorang pemungut kelapa sawit didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas dia mengaku bersalah membuat komen lucah mengenai bayi perempuan pakar bedah kelahiran Malaysia, Dr Amalina Che Bakri.
Hakim Ahmad Fuad Othman menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Nasir Kadiri, 58, selaku Orang Kena Saman (OKS) atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Sekiranya OKS gagal membayar jumlah denda itu dia boleh dipenjara selama enam bulan dan OKS membayar jumlah denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan menggunakan perkhidmatan aplikasi Facebook secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen yang lucah sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pukul 10.29 malam pada 15 Disember 2022.
Pautan itu kemudian telah dilihat di Tingkat 8, Menara MCMC, Cyberjaya, di sini pukul 11.52 pagi, pada 3 Januari 2023 mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 233(3) akta sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara yang boleh sampai setahun atau kedua-duanya.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Ahmad Fuad menasihati OKS supaya lebih berwaspada ketika membuat sebarang komen di media sosial, kerana setiap perbuatan yang dilakukan pasti membawa akibat.
“Apabila telefon berada di tangan, kita boleh buat pelbagai komen, kita boleh tohmah atau fitnah sesiapa sahaja. Contohnya seperti kesalahan kamu hari ini, semuanya dipantau oleh SKMM,” katanya.
Terdahulu, Dr.Amalina memaklumkan bakal mengambil tindakan undang-undang berhubung kenyataan lucah individu tidak bertanggungjawab berkaitan isu khatan.
Baca juga : Dua didenda RM3,000 buat komen berbaur lucah
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






