JENAYAH & MAHKAMAH

Ajak wanita daftar masuk hotel, anggota polis disiasat

KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis disiasat secara tatatertib oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman selepas didakwa mengajak seorang wanita berjumpa dan mendaftar masuk ke hotel seperti yang tular di media sosial.

Pengarah JIPS, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, satu laporan polis telah dibuat oleh Ketua Balai Polis Pandan Indah semalam susulan penularan video berkenaan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana perkataan atau isyarat yang mengaibkan kehormatan seseorang dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Selain itu, JIPS turut menjalankan siasatan tatatertib secara selari terhadap pegawai rendah polis terbabit, termasuk dari aspek penyeliaan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Ajak wanita daftar masuk hotel, anggota polis disiasat
Tangkal layar video media sosial yang mengaitkan anggota polis tular.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai polis termasuk pegawai penyelia sekiranya terdapat aduan berasas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail memaklumkan, pihaknya telah mengesan satu video berdurasi satu minit 30 saat yang dimuat naik di laman sosial, memaparkan perbualan antara seorang anggota polis dan seorang wanita yang tidak dikenal pasti identitinya.

Ajak wanita daftar masuk hotel, anggota polis disiasat

Menurutnya, kandungan video tersebut didapati berbaur mengaibkan kesantunan wanita dan tular sekitar jam 5 petang semalam.

“Wanita terbabit diminta tampil ke balai polis bagi membantu siasatan,” katanya lagi.

Tindakan lanjut akan diambil berdasarkan hasil siasatan penuh terhadap kes berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button