JENAYAH & MAHKAMAH

Ahli keluarga terlibat serangan balai Ulu Tiram diarah jalani rawatan kerana kemurungan

JOHOR BAHRU – Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan seorang daripada lima ahli keluarga yang terlibat dalam serangan Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei lalu mendapatkan rawatan hospital kerana mempunyai simptom kemurungan.

Hakim Rasidah Roslee membuat keputusan tersebut selepas peguam Faizal Rahman yang mewakili kelima-lima tertuduh, memohon agar tertuduh kelima, Mariah Radin Imran dirujuk ke hospital kerana didapati mengalami tanda-tanda kemurungan ketika bertemu di Penjara Simpang Renggam pada akhir bulan lalu.

Permohonan itu dibuat semasa prosiding sebutan semula kes hari ini dan tidak dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fazeedah Faik yang turut memohon tarikh baharu untuk sebutan semula kerana laporan pakar keganasan masih belum siap.

Mahkamah memerintahkan Mariah mendapatkan rawatan di hospital dengan segera dan menetapkan 2 September depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan pakar keganasan dan memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Terdahulu, Mariah bersama bapanya, Radin Imran Radin Mohd Yassin, ibunya Rosna Jantan yang juga warga Singapura, abangnya, Radin Romyullah dan kakaknya, Farhah Sobrina Radin Imran dibawa ke Kompleks Mahkamah Johor Bahru sekitar jam 8.35 pagi dengan kawalan ketat lebih 20 anggota polis bersenjata.

Pada 19 Jun lalu, kelima-lima tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen atas sembilan pertuduhan berasingan, termasuk menggalakkan perbuatan pengganas dengan menanam ideologi kumpulan pengganas Islamic State (IS). Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.

Radin Imran berdepan empat pertuduhan termasuk menggalakkan perbuatan pengganas dengan menanam fahaman ideologi keganasan kumpulan IS mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan (Akta 574).

Fahaman itu didakwa disemai kepada semua anggota keluarganya, termasuk Radin Luqman, 21, yang terlibat dalam serangan Balai Polis Ulu Tiram, Rosna, dan tiga anaknya yang lain.

Dia juga dituduh memberi sokongan kepada perbuatan pengganas dengan menyimpan empat senjata api jenis senapang angin buatan sendiri untuk aktiviti kumpulan IS dan didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(b) akta yang sama.

Radin Imran dan anak sulungnya, Radin Romyullah, turut dituduh mengikut Seksyen 130J(1)(a) kerana memberi sokongan kepada IS dengan cara berbaiah kepada pemimpin kumpulan pengganas itu, Abu Bakar Al-Baghdadi.

Bagi tuduhan keempat, dia didakwa memiliki buku bertajuk “Hakikat Islam & Hakikat Syirik” oleh Abu Sulaiman Aman Abdurrahman yang berkaitan kumpulan IS dan didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a).

Radin Romyullah, yang juga suspek kedua, didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) kerana memiliki cakera keras yang mengandungi bahan berkaitan IS dan perlakuan pengganas.

Rosna, Farhah Sobrina, dan Mariah dituduh sengaja tidak memberikan maklumat berkaitan kesalahan yang dilakukan mengikut Seksyen 130J(1)(a) dan Seksyen 130G(a) dan didakwa mengikut Seksyen 130M kanun yang sama.

Kesemua tertuduh berdepan hukuman penjara antara tujuh tahun hingga 40 tahun atau denda atau kedua-duanya, dan semua harta yang digunakan bagi melakukan kesalahan itu hendaklah dirampas, jika sabit kesalahan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button