Adlan hidup mewah di Asia Barat, masih diburu SPRM
PUTRAJAYA – Ahli perniagaan Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan yang diburu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak lebih dua tahun lalu, dipercayai kini menjalani kehidupan mewah di sebuah negara Asia Barat yang tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Malaysia.
BH Online melaporkan Adlan, 49, yang juga menantu kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dikehendaki bagi menghadapi pertuduhan pecah amanah membabitkan projek National Enforcement and Registration System (NERS) bernilai RM595 juta.
Beberapa gambar yang dikongsikan kepada New Straits Times menunjukkan Adlan bergaul dengan tokoh kenamaan dari Asia Barat, malah difahamkan beliau kerap berulang-alik ke luar negara, termasuk ke Thailand bagi bermain golf dan menembak.
Siasatan SPRM mendapati hampir RM50 juta hasil kutipan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), yang sepatutnya digunakan untuk pembayaran balik sukuk NERS, telah diselewengkan.
Adlan meninggalkan Malaysia ke New Zealand pada 17 Mei 2023, tidak lama selepas bapa mentuanya didakwa di mahkamah. Peguamnya, Mansoor Saat, turut melarikan diri ke Jakarta empat hari kemudian.
Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, pelbagai tindakan diambil bagi mengesannya termasuk membatalkan pasport, memohon Notis Merah Interpol serta mendapatkan waran tangkap dari Mahkamah Majistret Shah Alam.
“Segala usaha dilakukan secara telus dan berlandaskan undang-undang. Tiada sesiapa mengatasi undang-undang negara,” tegas beliau.
Selepas semua usaha membawa pulang gagal, Jabatan Peguam Negara (AGC) bersetuju untuk mendakwa Adlan dan Mansoor secara in absentia (tanpa kehadiran). Pendakwaan itu dibuat selepas kertas siasatan lengkap diserahkan kepada AGC pada 15 Ogos 2023.
SPRM menegaskan pihaknya komited memastikan keadilan ditegakkan dan proses undang-undang berjalan tanpa rasa takut atau pilih kasih.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





