BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

6 pelatih PUSPEN Jelebu larikan diri, seorang ditahan semula

JELEBU – Enam pelatih dari Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Jelebu bertindak melarikan diri dari pusat berkenaan awal semalam, mencetuskan operasi pencarian besar-besaran oleh pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Superintenden Azizan Said berkata, kesemua pelatih terbabit dilaporkan meloloskan diri kira-kira pukul 1 pagi dan laporan berhubung kejadian telah dibuat oleh pihak PUSPEN sekitar pukul 3.40 pagi.

Bagaimanapun, menurut beliau, seorang daripada pelatih tersebut berjaya ditahan semula sekitar pukul 9.30 pagi hari ini berhampiran sebuah kilang rotan, Titi Cane di Kampung Kongkoi, kira-kira lima kilometer dari lokasi pusat pemulihan itu.

Beliau berkata, usaha mengesan baki lima individu yang masih bebas sedang giat dijalankan oleh pihak polis bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Jelebu serta Unit Anjing Pengesan (K9) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan.

Menurut Azizan, kelima-lima pelatih yang masih dikesan dikenal pasti berasal dari negeri Johor, Selangor dan Perak, masing-masing berusia antara 25 hingga 42 tahun.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 223 dan 224 Kanun Keseksaan kerana kecuaian sehingga membolehkan tahanan melarikan diri serta kesalahan melarikan diri dari jagaan sah pihak berkuasa.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kelima-lima pelatih tersebut supaya segera menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu di talian 06-6136222 atau Bilik Gerakan IPD Jelebu di 06-6137999 bagi membantu siasatan.

Beliau turut menyeru individu yang masih bebas agar menyerah diri bagi mengelakkan tindakan undang-undang yang lebih berat dikenakan ke atas mereka.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button