Jenayah & Mahkamah

6 disiasat muat naik kandungan jelik berkaitan YDPA, majlis raja-raja

CYBERJAYA – Suruhanjaya dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang melakukan siasatan ke atas enam individu yang dipercayai memuat naik kandungan berunsur palsu dan jelik melibatkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan majlis raja-raja di platform media sosial Facebook.

Menurut MCMC, satu operasi pemeriksaan telah dijalankan pada hari ini melibatkan salah seorang suspek di Setapak, Kuala Lumpur yang memuat naik kandungan palsu terhadap Mesyuarat Majlis Raja-Raja.

“Satu unit telefon pintar dan satu unit kad sim yang berkaitan dengan kes telah disita bagi membantu siasatan.

“Analisis forensik akan dijalankan ke atas peranti berkenaan untuk mendapatkan keterangan bagi membuktikan kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, katanya, satu kes akan disiasat bersama dengan pasukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) PDRM, yang mana suspek akan diambil keterangan pada esok bersama-sama dengan USJT.

Dalam pada itu katanya, operasi pemeriksaan bagi kes-kes lain pula akan dijalankan sepanjang minggu ini ke atas semua suspek di lokasi berasingan sekitar Sungai Petani, Kota Bharu, Kerian dan Teluk Intan.

Terdahulu, dua notis telah dikeluarkan oleh MCMC kepada dua orang suspek untuk hadir memberikan keterangan bagi kandungan yang dimuat naik oleh mereka di platform media sosial Facebook.

Suspek di Setapak yang diambil keterangan. Kredit gambar MCMC

Katanya, siasatan menyeluruh akan dibuat dan seterusnya kes akan dikemukakan kepada timbalan pendakwa raya (TPR) untuk keputusan selanjutnya.

Ujarnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu katanya, orang ramai diingatkan untuk tidak menggunakan perkhidmatan rangkaian dan aplikasi dalam talian untuk memuat naik sebarang kandungan maklumat palsu atau tidak benar, yang boleh membawa kesan serius sehingga mencetuskan panik dan kegusaran kepada masyarakat.

“Berwaspada dengan kandungan yang dimanipulasi dan sentiasa lakukan pengesahan fakta dan semak silang dengan pelbagai sumber yang dipercayai sebelum berkongsi sebarang maklumat.

“Gunakan Chatbot AIFA sebagai platform untuk menyemak berita yang tidak ditentusahkan dalam talian.

“AIFA direka untuk menjadi mesra pengguna dan boleh diakses 24 jam melalui portal Sebenarnya.my serta aplikasi WhatsApp. Pengguna dapat berinteraksi dengan chatbot ini dalam empat bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button