JENAYAH & MAHKAMAH

2 vesel nelayan asing ditahan, tidak miliki dokumen kebenaran tangkap ikan

KUALA TERENGGANU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu menahan dua vesel nelayan asing Vietnam selepas disyaki tidak memiliki sebarang dokumen kebenaran menangkap ikan di perairan negara pada Khamis lalu.

Pengarahnya, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abdul Majid berkata, kedua-dua vesel itu ditahan kapal ronda Maritim Malaysia ketika sedang leka melakukan aktiviti perikanan di perairan Muara Terengganu.

“Setelah pemeriksaan dilakukan terhadap 20 kru termasuk tekong mendapati, kesemua mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan kebenaran menangkap ikan di perairan negara dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, vesel dikendalikan oleh kru dan tekong yang berusia dalam lingkungan umur 20 hingga 50 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, kedua-dua vesel terbabit telah dibawa ke jeti Maritim Malaysia Terengganu untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

Sehubungan itu, nilai rampasan keseluruhan kedua-dua vesel itu dianggarkan berjumlah sebanyak RM3 juta.

“Maritim Malaysia akan terus memperkasakan kesiapsiagaan aset bagi memastikan perairan negara khususnya perairan Negeri Terengganu terus terjaga daripada pencerobohon vesel nelayan asing,” ujarnya.

Sementara itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Terengganu di talian 09-6223657 atau MERS 999 untuk mendapatkan bantuan segera.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button