
16 dipercayai terlibat sindiket pelacuran warga asing ditahan
PUTRAJAYA – Seramai 16 individu termasuk dua lelaki warga tempatan ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu Operasi Khas di dua lokasi berasingan semalam kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pelacuran wanita warga asing.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JIM, Ismail Mokhtar berkata, operasi dijalankan hasil risikan selama dua minggu di sekitar Pandan Perdana, Kuala Lumpur dan Seri Kembangan, Selangor.
“Modus operandi kumpulan ini adalah menawarkan perkhidmatan pelacuran wanita warga asing melalui aplikasi media sosial bagi mendapatkan pelanggan.
“Bayaran dikenakan antara RM250 hingga RM1,200 bagi satu sesi perkhidmatan seks dan transaksi dilakukan secara tunai atau dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurutnya, operasi bermula pukul 7.15 malam itu melibatkan pegawai dan anggota dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
“Pasukan operasi menyerbu premis kedai dan kediaman serta berjaya menahan dua lelaki tempatan dipercayai penjaga premis.
“Turut ditahan, dua lelaki dan tujuh wanita warga Vietnam, empat wanita warga Indonesia serta seorang wanita warga Laos,” katanya lagi.
Beliau berkata, semakan mendapati seorang wanita masing-masing warga Vietnam dan Laos memiliki Pas Lawatan Sosial yang masih sah, dua lelaki Vietnam tinggal lebih masa, manakala selebihnya tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas sah.
“JIM turut menyita 19 telefon bimbit, lima pasport Vietnam, satu pasport Laos, buku rekod kerja dan buku urus niaga.
“Kesemua warga asing ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.
“Dua wanita warga Laos dan seorang wanita Vietnam turut diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |