BERITA SEMASA

JBPM bakal terima 30 unit jentera FRT baharu bernilai RM18 juta

PUTRAJAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bakal menerima 30 unit jentera Fire Rescue Tender (FRT) baharu bagi menggantikan jentera sedia ada yang telah berkhidmat selama lebih 20 tahun.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad berkata,
melalui persetujuan dicapai, CLW Malaysia bersetuju mengambil 30 unit jentera lama dan menggantikannya dengan 30 unit jentera FRT baharu dengan nilai keseluruhan RM18 juta.

Beliau memberitahu, harga bagi sebuah jentera FRT baharu adalah RM600,000 manakala 30 unit jentera lama dilepaskan pada nilai RM2.328 juta.

Katanya, kerjasama tersebut bertujuan meningkatkan kecekapan pasukan dalam memberikan tindak balas terhadap kecemasan.

“Projek ini merupakan sebahagian daripada inisiatif jabatan untuk menambah baik keupayaan ‘response’ terhadap panggilan kecemasan,” katanya pada majlis penyerahan Surat Setuju Terima di Ibu Pejabat JBPM di sini hari ini.

Menurut Nor Hisham, projek tersebut dilaksanakan secara rundingan terus dengan kelulusan Kementerian Kewangan dan dijangka selesai dalam tempoh tiga hingga enam bulan.

“Tempoh pelaksanaan ini jauh lebih singkat berbanding kebiasaan iaitu sekitar dua tahun bagi proses perolehan baharu,” ujarnya.

Tambahnya, semua aset dan peralatan penting daripada jentera lama akan dipindahkan ke jentera baharu bagi menjimatkan kos dan memastikan operasi menyelamat tidak terjejas.

“Kerjasama ini adalah susulan lawatan rasmi Perdana Menteri China, Li Qiang ke Malaysia pada Jun 2024 yang turut menyaksikan pemeteraian perjanjian penubuhan CLW Malaysia,” katanya lagi.

Dalam pada itu, CLW Malaysia menyatakan komitmen untuk menggantikan 30 unit jentera FRT sedia ada dengan unit baharu sebagai tanda muhibah.

“Langkah ini akan memastikan perkhidmatan kebombaan dan penyelamatan yang lebih efisien dapat disalurkan kepada rakyat,” ujar Nor Hisham.

Beliau turut menekankan bahawa penambahbaikan aset itu akan membantu JBPM mencapai sasaran masa tindak balas kecemasan di bawah 10 minit sebagaimana ditetapkan jabatan.

Turut hadir menyaksikan penyerahan surat itu ialah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Ir. Ts. Ahmad Izram Osman dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM, Othman Abdullah bersama beberapa pengarah bahagian dan pegawai kanan jabatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button