JENAYAH & MAHKAMAH

Janda, dua rakan paksa wanita bogel, rakam video dan peras ugut dipenjara

BATU PAHAT – Tiga individu termasuk seorang janda dijatuhi hukuman selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengurung, mencederakan, memeras ugut serta memaksa seorang wanita berbogel sebelum merakam video mangsa, bulan lalu.

Tertuduh, Nur Syuhaidah Saharan, 34, Mohamad Salehuddin Ali, 34, dan Aliza Khamis, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Arun Noval Dass.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun enam bulan terhadap Nur Syuhaidah, manakala Mohamad Salehuddin dihukum penjara tiga tahun serta tiga sebatan. Aliza pula dikenakan denda RM2,000.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara terhadap Nur Syuhaidah berjalan serentak dari tarikh sabitan, manakala hukuman Mohamad Salehuddin berkuat kuasa dari tarikh tangkap.

Mohamad Salehuddin berdepan empat pertuduhan, Nur Syuhaidah tiga pertuduhan dan Aliza satu pertuduhan.

Difahamkan, Nur Syuhaidah kini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Kluang selepas disabitkan kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine buat kali ketiga.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan pengurungan salah terhadap seorang wanita berusia 33 tahun dan didakwa mengikut Seksyen 340 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 342 dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Nur Syuhaidah dan Mohamad Salehuddin turut mengaku bersalah merakam mangsa dalam keadaan bogel menggunakan telefon bimbit dan didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Mereka juga didapati melakukan pemerasan terhadap mangsa sehingga wanita itu menyerahkan wang tunai RM4,200 serta sebuah telefon bimbit.

Selain itu, Mohamad Salehuddin turut mengaku bersalah mencederakan mangsa dengan menumbuk muka, badan, kaki, perut dan dada wanita berkenaan berulang kali menggunakan tangan.

Kesalahan tersebut didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Semua perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Banang Heights di sini antara pukul 7 pagi hingga 11 pagi pada 13 Mei lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button