BERITA SEMASA

JAKIM terima Anugerah Kecemerlangan Tadbir Urus Halal di WITA 2025

SHAH ALAM – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) meraih pengiktirafan antarabangsa selepas menerima Anugerah Kecemerlangan Tadbir Urus Halal pada Anugerah Pelancongan dan Perdagangan Islam Dunia (WITA) 2025, semalam.

Menurut JAKIM, pengiktirafan tersebut menjadi bukti komitmen berterusan Malaysia dalam memperkukuh ekosistem halal di peringkat global.

“Penerimaan anugerah ini adalah hasil usaha berterusan JAKIM memastikan integriti sistem pensijilan halal Malaysia sentiasa diyakini.

“Ia bukan sahaja mengangkat nama negara malah memperkukuh reputasi Malaysia sebagai hab halal global,” kata JAKIM dalam satu kenyataan.

Pengiktirafan tersebut menjadi bukti komitmen berterusan Malaysia melalui JAKIM dalam memperkukuh ekosistem halal di peringkat global.

Anugerah berprestij itu disampaikan oleh Timbalan Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), Datuk Jeffri Sulaiman kepada Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAKIM, Muhyidin Aziz@Saari yang hadir mewakili Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.

WITA merupakan platform pengiktirafan global yang meraikan kecemerlangan dalam sektor pelancongan dan perdagangan Islam.

Selain itu, ia juga mengiktiraf organisasi, individu dan destinasi yang menyumbang kepada pembangunan pelancongan halal, budaya Islam, amalan perniagaan beretika serta perdagangan mampan.

Dengan kejayaan tersebut, JAKIM menegaskan pihaknya akan terus memperluas jaringan kerjasama bersama agensi tempatan dan antarabangsa bagi melonjakkan kedudukan Malaysia sebagai hab halal global serta destinasi pelancongan Islam utama dunia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button