Isu pembinaan eskalator Batu Caves selesai
BATU CAVES – Isu yang membelenggu permohonan pembinaan eskalator di Batu Caves bakal tamat apabila pihak yang terlibat bersetuju untuk meneruskan keperluan kawal selia mengikut lunas undang-undang bagi memudahkan permohonan itu diluluskan secepat mungkin.
Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo berkata, kedua-dua pihak iaitu kerajaan negeri Selangor dan pengurusan Kuil Batu Caves bersetuju untuk menyelesaikan beberapa aspek teknikal supaya cadangan pembinaan tersebut dapat diteruskan.
“Kedua-dua pihak bersetuju bahawa bagi tujuan pembinaan ini, semua peraturan yang ditetapkan perlu dipatuhi dengan teliti,” katanya, hari ini.
Gobind yang juga Menteri Digital dan Ahli Parlimen Damansara berkata, isu tersebut timbul berikutan status unik Kuil Batu Caves yang tertakluk kepada satu perintah mahkamah lama yang mewujudkan sebuah badan amanah, sekali gus menjadikan proses permohonan pembinaan berbeza daripada prosedur biasa.
Beliau berkata, pertikaian timbul apabila permohonan pembinaan eskalator didakwa dibuat atas nama individu, namun hasil penelitian mendapati permohonan tersebut dikemukakan oleh pihak kuil melalui Tan Sri R. Nadarajah selaku pemegang amanah bagi tujuan kuil berkenaan.
“Tidak timbul soal Nadarajah membuat permohonan dalam kapasiti peribadi. Ia dibuat dalam kapasiti beliau sebagai pengerusi kuil, khususnya sebagai pemegang amanah jawatankuasa kuil, dan bukan sebagai individu,” katanya.
Sebagai rekod, isu berkenaan timbul apabila permohonan pembinaan eskalator berkenaan dibuat di atas nama Nadaraja selaku Pengerusi Pemegang Amanah.
Kerajaan negeri bagaimanapun tidak meluluskan permohonan berkenaan kerana Kanun Tanah Negara mensyaratkan permohonan dibuat di atas nama persatuan yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Sehubungan itu, kata Gobind, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk meneruskan semua keperluan kawal selia sebagaimana diperuntukkan bagi memudahkan permohonan tersebut diluluskan secepat mungkin.
“Penting untuk dinyatakan bahawa kerajaan negeri sentiasa menyokong permohonan yang dibuat oleh pihak kuil, namun seperti mana semua permohonan lain, pematuhan kepada peraturan ditekankan sebagai keperluan asas sebelum sebarang kelulusan diberikan.
“Pendekatan yang sama turut diambil oleh jawatankuasa kuil yang dipimpin oleh Nadaraja,” kata Gobind lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








