Isu Exco Terengganu didakwa, MB nasihati orang ramai tidak buat penilaian awal
KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang penilaian awal dalam isu berkaitan pendakwaan salah seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di mahkamah, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri menghormati sepenuhnya proses undang-undang dan prinsip seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah di mahkamah harus dipegang oleh semua pihak bagi mengelak gangguan terhadap proses keadilan.
”Saya mengambil maklum isu seorang ahli MMKN yang kini berada di peringkat pendakwaan dan perbicaraan. Kerajaan negeri komited menjaga integriti dan menghormati sepenuhnya proses undang-undang yang sedang berjalan.
”Semua pihak diminta tidak membuat spekulasi atau sebarang penilaian awal yang boleh menjejaskan proses keadilan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ketika mengulas mengenai kedudukan jawatan ahli MMKN berkenaan, Ahmad Samsuri berkata, individu terbabit tidak diwajibkan untuk meletakkan jawatan buat masa ini.
Katanya, peranan individu tersebut sebagai Exco Kerajaan Negeri tidak akan mengganggu atau menjejaskan perjalanan proses pendakwaan serta perbicaraan di mahkamah.
”Saya menyeru semua pihak agar bertenang dan memberi ruang kepada sistem perundangan menjalankan tugasnya secara profesional.
”Semoga kita semua terus dipandu dalam melaksanakan amanah ini,” katanya lagi.
Terdahulu, Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Datuk Hanafiah Mat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan menyalahgunakan kedudukan bagi kepentingan dua anak kandungnya.
Beliau membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.
Mengikut pertuduhan pertama, beliau didakwa menggunakan kedudukannya sebagai pegawai badan awam iaitu Exco Kerajaan Negeri dan Pengerusi Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBKSB) untuk mendapatkan suapan bagi anaknya, Mohd Najmi Hanafiah pada 15 Ogos 2018.
Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa melakukan kesalahan serupa untuk mendapatkan suapan bagi seorang lagi anaknya, Ahmad Kamil Hanafiah pada 18 Jun 2020.
Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat EPIC Berhad, Pangkalan Bekalan Kemaman, Teluk Kalong.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








