BERITA SEMASADALAM NEGERI

Isu bantuan SARA: Poay Tiong tegaskan niat bukan untuk serang Mydin

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong menegaskan bahawa kenyataannya mengenai skim Sumbangan Asas Rahmah (SARA) tidak bertujuan menyerang mana-mana syarikat sebaliknya untuk memastikan manfaat inisiatif itu dinikmati oleh semua pihak, termasuk peniaga kecil dan usahawan mikro.

Dalam hantaran di Facebook rasmi, Poay Tiong menjelaskan bahawa sewaktu perbahasan di Dewan Rakyat, beliau hanya menyebut beberapa syarikat besar seperti Mydin dan 99 Speedmart sebagai contoh.

Menurutnya, mesej utama adalah supaya skim SARA diperluas agar lebih ramai peniaga kecil dapat menyertainya.

“Ya, saya memang sebut syarikat besar. Bukan kerana dengki atau tidak suka orang buat untung. Jika syarikat besar tidak untung, ekonomi kita pun ada masalah,” katanya.

Beliau menambah, penglibatan peniaga kecil dalam SARA akan merancakkan pasaran, memacu peredaran wang, dan menyihatkan ekonomi rakyat secara menyeluruh.

Menurut Poay Tiong, tindakannya mengaitkan kenyataan dengan Mydin bukan untuk menimbulkan kontroversi, tetapi bagi menunjukkan bahawa ekosistem SARA boleh melibatkan semua pihak demi kepentingan bersama.

“Biar kedai runcit kecil, peniaga kejiranan dan usahawan mikro turut masuk dalam ekosistem ini. Bila lebih ramai terlibat, pasaran hidup, ekonomi rakyat pun lebih sihat. Menang sama-sama,” jelasnya.

Ahli Parlimen itu menegaskan, kenyataan beliau bukan serangan peribadi terhadap mana-mana pihak, sebaliknya usaha untuk menjelaskan niat sebenar di sebalik bantuan SARA yang bersifat inklusif.

Sebelum ini, pemilik Mydin, Datuk Dr. Ameer Ali Mydin dalam hantaran di media sosial menyifatkan kenyataan Poay Tiong sebagai sangkaan jahat terhadapnya dan menegaskan Mydin sentiasa konsisten menyokong kepentingan kerajaan membantu peniaga kecil.

Bahkan katanya, Mydin sedar bahawa bantuan itu tidak akan kekal selamanya dan akur jika ia tidak disalurkan kepada pihaknya asalkan manfaat disalurkan kepada peniaga kecil dan sederhana.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button