Lelaki maut terkena renjatan elektrik ketika petik mangga
PAPAR – Cubaan memanjat pokok mangga berakhir tragedi apabila seorang lelaki maut terkena renjatan elektrik di Bambangan, di sini, semalam.
Mangsa, 42 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi selepas usaha menurunkannya dari atas pokok dilakukan oleh pihak bomba.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rozlan Osman, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden tersebut pada pukul 3.01 petang.
“Seramai lapan anggota bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira empat kilometer dari balai.
“Siasatan awal mendapati mangsa memanjat pokok mangga dan menggunakan sebatang besi sebagai alat untuk menjolok buah, namun besi berkenaan telah menyentuh kabel elektrik berdekatan menyebabkan mangsa terkena renjatan,” katanya memetik Sinar Harian.
Jelas beliau, mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan tersangkut di atas pokok.
“Selepas bekalan elektrik diputuskan oleh pihak Sabah Electricity, pasukan kami menjalankan operasi menurunkan mangsa menggunakan tangga dan tali penyelamat,” tambahnya.
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di tempat kejadian sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada pukul 4.29 petang setelah kawasan kejadian disahkan selamat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


