BERITA SEMASA

Infak makanan melalui GrabFood: Solidariti untuk rider di Indonesia

KUALA LUMPUR – Usaha menyalurkan sedekah kini semakin mudah apabila aplikasi Grab membolehkan orang ramai berinfak makanan kepada pemandu di Indonesia hanya melalui telefon pintar, walaupun berada di Malaysia.

Seorang pengguna Facebook, Zainuddin Omar berkongsi pengalamannya menempah makanan untuk seorang pemandu Grab di Jakarta sebagai tanda solidariti dan sedekah.

Menurutnya, langkah itu boleh dilakukan dengan menukar tetapan lokasi aplikasi Grab kepada Indonesia, memilih bandar tertentu, menetapkan lokasi penghantaran seperti masjid atau pasar, membuat pesanan makanan dan menyampaikan mesej ringkas kepada pemandu sebelum menyelesaikan pembayaran seperti biasa.

“Mungkin ada yang tidak bersetuju, tetapi dalam keadaan sekarang ramai yang dalam kesusahan.

“Apa-apa bentuk infak, terutama makanan sangat diperlukan,” katanya yang turut mengajak masyarakat memanfaatkan kaedah itu untuk membantu saudara seagama di negara jiran.

Inisiatif berinfak itu muncul ketika masyarakat masih terkesan dengan tragedi melibatkan seorang pengemudi ojek dalam talian, Affan Kurniawan Zulkifli, 21, yang meninggal dunia ketika bertugas di Jakarta pada 28 Ogos lalu.

Allahyarham Affan Kurniawan yang berasal dari Bandar Lampung dan tinggal di Menteng, Jakarta Pusat, sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan sebelum memilih menjadi pemandu ojek bagi menampung kehidupan keluarganya.

Ketika menghantar pesanan makanan di kawasan Bendungan Hilir, beliau terperangkap dalam kekecohan tunjuk perasaan buruh di hadapan bangunan DPR RI.

Dalam insiden itu, Affan terjatuh lalu dilanggar sebuah kenderaan taktikal Brimob yang cuba merempuh orang ramai.

Ribuan penunggang ojek online mengiringi jenazah Allahyarham Affan Kurniawan.

Rakaman insiden tersebut tular di media sosial dan mencetuskan kemarahan rakyat.

Affan disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Cipto Mangunkusumo (RSCM).

Pemergiannya mendapat simpati besar apabila ribuan pemandu ojek hadir mengiringi jenazahnya ke Tanah Perkuburan Karet Bivak, Jakarta Pusat.

Presiden Prabowo Subianto turut menyampaikan ucapan takziah, manakala syarikat Grab dan Gojek menyatakan dukacita serta menghulurkan bantuan kepada keluarganya.

Tragedi itu turut mendapat liputan media antarabangsa, manakala tanda pagar #PolisiPembunuhRakyat menjadi trending di platform X, menggambarkan kemarahan rakyat terhadap kekerasan pihak berkuasa.

Di sebalik kesedihan itu, usaha kecil seperti infak makanan melalui Grab memberi makna besar sebagai tanda solidariti terhadap para pemandu yang bekerja keras mencari rezeki.

Ia bukan sahaja mengisi perut yang lapar, tetapi juga menyemarakkan semangat kebersamaan dan kepedulian sesama insan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button