India lancar serangan udara ke atas Pakistan
NEW DELHI – India melancarkan serangan udara ke atas Pakistan awal hari ini, yang didakwa sebagai tindakan susulan terhadap pembunuhan beramai-ramai pelancong di Kashmir.
Digelar Operasi Sindoor, serangan itu didakwa menyasarkan infrastruktur pengganas di Pakistan dan wilayah Kashmir yang ditadbir negara tersebut.
Bulan lalu, sekumpulan militan telah menyerbu daerah pergunungan yang indah di Pahalgam dan membunuh 25 pelancong India dalam serangan paling buruk terhadap orang awam India dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Sementara itu, Pakistan memaklumkan lapan orang terbunuh, termasuk kanak-kanak selain mendakwa mereka berjaya menembak jatuh lima pesawat Tentera Udara India dan sebuah dron semasa serangan berlaku.
Seorang saksi memberitahu CNN, satu letupan turut kedengaran di bandar Srinagar, iaitu bandar terbesar di wilayah Kashmir yang ditadbir India.
Tragedi berdarah itu memburukkan lagi hubungan yang sudah sedia tegang antara New Delhi dan Islamabad, dengan India pantas menyalahkan Pakistan sebagai dalang utama.
Sebelum ini, Modi, seorang pemimpin nasionalis Hindu bersumpah untuk mengejar para penyerang ‘hingga ke hujung dunia’.
Susulan tragedi di Pahalgam, media India yang lantang dan sering bersifat jingoistik (nasionalisme melampau) terus mendesak tindakan balas ketenteraan.
“Kami mahu balas dendam,” demikian tajuk utama di salah satu saluran televisyen.
“Bharat bersedia berperang,” menurut saluran lain, merujuk kepada nama Sanskrit bagi India.
Penganalisis menjangka tindakan balas seperti ini hanyalah soal masa sebelum ia dilaksanakan oleh Modi dan parti pemerintahnya, Bharatiya Janata Party (BJP).
“Modi dan kerajaannya percaya mereka perlu bertindak balas terhadap serangan di Pahalgam,” kata Derek J. Grossman, penganalisis pertahanan kanan di RAND Corporation, sebuah badan pemikir berpangkalan di Amerika Syarikat.
“Apa pun bentuknya, kecuali mungkin tindak balas nuklear kerana mereka percaya Pakistan perlu diberi amaran untuk masa depan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


