Hibah Takaful tidak kebal cabaran Mahkamah Sivil?
KUALA LUMPUR – Konsep hibah Takaful yang semakin popular sebagai mekanisme pewarisan patuh Syariah sebenarnya tidak kebal daripada cabaran undang-undang.
Kes-kes terkini menunjukkan bahawa manfaat hibah yang sepatutnya diserahkan terus kepada penama masih boleh digugurkan jika dicabar di Mahkamah Sivil meskipun ia telah disahkan sah oleh Mahkamah Syariah.
Pengarah Komersil Mawarith Integrated Sdn. Bhd. (MiiM), Hadi Pilus memberi amaran realiti sistem perundangan Malaysia yang bersifat dualisme membuka ruang kepada interpretasi berbeza antara Mahkamah Sivil dan Syariah.

“Kita perlu sedar bahawa dalam banyak keadaan, hakim Mahkamah Sivil boleh membuat keputusan yang berbeza, meskipun hibah itu telah diperakukan sebagai sah menurut hukum Islam,” jelas beliau dalam satu kenyataan.
Menurut Hadi, walaupun hibah takaful telah diperuntukkan di bawah Seksyen 142 dan 167 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSA) 2013 dan memberi kuasa kepada peserta untuk melantik penama sebagai benefisiari mutlak, akta tersebut tidak menghalang waris lain daripada mencabarnya atas alasan teraniaya.
Beliau turut menekankan kekeliruan dalam kalangan peserta takaful apabila menyamakan ‘penama’ dengan ‘penerima hibah’.
“Ramai menyangka dengan menamakan seseorang dalam borang takaful, manfaat automatik menjadi milik mereka. Tapi tanpa dokumen hibah lengkap, penama hanya dianggap sebagai pemegang amanah, bukan penerima mutlak,” katanya lagi.
Situasi itu katanya, sering membuka ruang kepada waris lain untuk menuntut hak melalui faraid, lalu membawa isu berkenaan ke Mahkamah Sivil.
Sehubungan itu, Hadi menggesa agar peserta Takaful tidak sekadar bergantung kepada niat dan dokumen asas sahaja.
“Undang-undang yang ada bukan untuk ditakuti, tetapi untuk difahami dan dimanfaatkan sebaiknya.
“Peserta perlu bertindak sewaktu hidup untuk memastikan hasrat pewarisan mereka terlaksana dengan jelas, sah dan kukuh tanpa ruang untuk dicabar,” tegas beliau.
Dalam pada itu, Hadi menyarankan tiga langkah utama yang wajar diambil peserta takaful.
“Pertama pastikan dokumen hibah lengkap dan sah secara Syariah serta sivil.
“Kedua, simpan bukti penerimaan hibah oleh penama atau benefisiari.
“Ketiga, dapatkan nasihat profesional sejak awal, bukan hanya selepas kematian,” katanya.
Tegasnya, walaupun hibah Takaful merupakan satu instrumen pewarisan yang efisien dan patuh syariah, ia masih terdedah kepada risiko jika tidak ditangani dengan betul dari segi undang-undang.
“Hibah bukan sekadar niat. Ia mesti jelas, sah, dan disokong oleh undang-undang,” tegas Hadi lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


