Helah anak tipu kematian bapa terbongkar, warga emas maut dipercayai dipukul objek tumpul
KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki membawa bapanya ke hospital dengan alasan terjatuh terbongkar apabila pemeriksaan perubatan mendapati kecederaan warga emas itu dipercayai berpunca daripada hentakan objek tumpul, sebelum kes tersebut membawa kepada penahanan suspek.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, dalam kejadian Isnin lalu, lelaki berusia 40 tahun itu mendakwa ayahnya yang berusia 76 tahun terjatuh beberapa kali di rumah mereka di Seri Kembangan sebelum menghantarnya ke Jabatan Kecemasan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) pada pukul 3 petang.
Bagaimanapun, hasil pemeriksaan awal mendapati corak lebam pada badan mangsa tidak teratur dan disyaki akibat kecederaan oleh objek tumpul sebelum pegawai perubatan yang bertugas kemudian membuat laporan polis.
“Bertindak atas maklumat pada pukul 9.30 malam hari sama, sepasukan polis telah membuat tangkapan terhadap lelaki berkenaan di lobi HCTM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pada peringkat awal kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, namun kertas siasatan itu diubah kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas warga emas berkenaan meninggal dunia kelmarin akibat kecederaan di kepala berpunca daripada objek tumpul.
Suspek yang mempunyai 11 rekod jenayah lampau dan didapati negatif terhadap dadah, kini direman sehingga 30 Januari bagi membantu siasatan lanjut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





