BERITA SEMASA

Harga makanan kantin sekolah terikat tender dipersetujui – PKSM

PETALING JAYA – Dakwaan harga makanan mahal di kantin sekolah perlu dilihat secara terperinci kerana sebarang kenaikan perlu mendapat persetujuan pentadbir sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PKSM), Jazmi Hassan berkata, harga makanan mesti mematuhi sebut harga yang dipersetujui dalam tender kantin, manakala pihak sekolah juga memantau harga jualan tersebut.

jazmi
JAZMI HASSAN

“Sebarang kenaikan tidak boleh dibuat sesuka hati,” katanya, hari ini.

Menurut Jazmi, kebanyakan pengusaha terikat dengan kontrak tender selama dua tahun, dan sepanjang tempoh itu harga makanan tidak boleh diubah walaupun kos operasi meningkat.

“Kebiasaannya isu kenaikan harga hanya timbul selepas pertukaran tender baharu apabila pengusaha perlu menilai semula kos bahan mentah, bekalan dan operasi semasa sebelum menetapkan harga jualan,” katanya.

Beliau menjelaskan, harga makanan di kantin sekolah ketika ini masih dalam lingkungan harga berpatutan, mengambil contoh nasi lemak biasa dijual sekitar RM1.50 hingga RM2.50 sepinggan manakala nasi goreng pula antara RM1 hingga RM2 sepinggan, bergantung pada sebut harga tender yang dipersetujui.

Jazmi turut memaklumkan, pengusaha kantin tidak menerima subsidi bahan mentah atau harga istimewa daripada pembekal.

“Masih ramai beranggapan pengusaha kantin sekolah menerima subsidi dan sebab itu boleh menjual murah, sedangkan hakikatnya harga belian barangan di pasaran hampir sama seperti berniaga di kafe atau restoran,” katanya.

Sehubungan itu, pengusaha kantin perlu merancang kos dengan teliti bagi memastikan operasi dapat diteruskan tanpa membebankan murid, katanya.

“Cabaran terbesar pengusaha ialah mendapatkan pembekal yang menawarkan harga lebih rendah, termasuk melalui promosi, selain perlu mendapatkan bekalan daripada pelbagai sumber dan tidak bergantung pada satu pembekal sahaja,” katanya.

Isu harga makanan di kantin sekolah sering menjadi perhatian setiap kali sesi persekolahan bermula, khususnya dalam kalangan ibu bapa yang bimbang kos sara hidup yang meningkat memberi kesan kepada perbelanjaan harian anak.

Beberapa laporan media pernah membangkitkan kenaikan harga makanan di kantin sekolah susulan peningkatan kos bahan mentah, tenaga kerja dan operasi, sehingga mencetuskan kebimbangan sama ada murid mampu mendapatkan makanan berkhasiat pada harga berpatutan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button