BERITA SEMASA

Hanya sembilan individu dibenar lawat Schumacher

KUALA LUMPUR – Lebih sedekad selepas kemalangan ski yang hampir meragut nyawanya pada 2013, keadaan legenda Formula Satu (F1), Michael Schumacher terus menjadi misteri yang dijaga rapi keluarga terdekat.

Dalam usaha memastikan privasi dan keselamatannya terpelihara, isterinya, Corinna kini mengehadkan hanya sembilan individu untuk melawat juara dunia tujuh kali itu.

Schumacher yang mengalami kecederaan otak serius akibat kemalangan tersebut memerlukan penjagaan perubatan rapi 24 jam sehari.

Sejak dibawa pulang ke rumah keluarga berhampiran Tasik Geneva di Switzerland, Corinna sentiasa memastikan keadaan suaminya tidak dieksploitasi dan segala maklumat berkaitan dirahsiakan.

Bagaimanapun, cubaan pemerasan baru-baru ini yang turut membabitkan bekas pengawal peribadi, Markus Fritsche, menyebabkan Corinna mengetatkan lagi peraturan lawatan.

Keluarga Schumacher diancam dengan pendedahan maklumat perubatan sensitif yang disifatkan Corinna sebagai “pengkhianatan tertinggi”.

Menurut laporan media Jerman, BILD, hanya sembilan individu termasuk ahli keluarga terdekat dibenarkan memasuki lingkungan privasi Schumacher.

“Corinna, dua anak pasangan itu, Mick dan Gina-Maria serta Sabine Kehm, bekas pengurus Schumacher yang dipercayai keluarga dan kini bertindak sebagai jurucakap,” memetik Sinar online.

Selain itu, beberapa tokoh penting yang pernah rapat dengan Schumacher sepanjang kerjaya F1 beliau turut mengekalkan kepercayaan keluarga, antaranya bekas Presiden Ferrari, Jean Todt; bekas pengarah teknikal Benetton dan Ferrari, Ross Brawn; serta tiga bekas pemandu F1, Gerhard Berger, Luca Badoer dan Felipe Massa.

Ekoran kejadian pemerasan tersebut, keluarga kini lebih berhati-hati terhadap sesiapa sahaja yang berada di sekeliling mereka.

Sabine Kehm ketika mengulas perkara itu berkata tindakan tidak bertanggungjawab individu tertentu meninggalkan kesan emosi mendalam terhadap keluarga Schumacher.

“Perkara seperti ini menghilangkan rasa percaya. Ia membuatkan keluarga lebih berhati-hati dan menutup ruang mereka dengan lebih ketat,” katanya lagi.

Beliau berkata, langkah yang diambil Corinna adalah tepat bagi memastikan tiada pihak yang akan mengeksploitasi keadaan Schumacher yang kini sangat memerlukan perlindungan dan ketenangan.

Walaupun dunia F1 masih merindui figura legenda itu, keluarga Schumacher berpegang teguh bahawa keutamaan mereka ialah menjaga maruah, kesihatan dan privasi beliau tanpa kompromi.

Schumacher kekal sebagai ikon sukan permotoran dunia, namun kehidupannya kini jauh daripada perhatian umum, seperti yang dihasratkan keluarganya sejak lebih satu dekad lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button