BERITA SEMASABISNES & EKONOMIGAYA HIDUP

Hanna Rauda ketengahkan seni sulaman mewah dalam koleksi raya ‘Be Spoke’

KUALA LUMPUR – Hanna Rauda terus mengukuhkan kedudukannya dalam segmen busana Melayu eksklusif apabila melancarkan koleksi terbaharu, Be Spoke yang menampilkan kehalusan seni sulaman dan perincian mewah sebagai identiti utama rekaan.

Jenama busana muslimah terkemuka itu sekali lagi mencuri tumpuan industri fesyen tanah air menerusi koleksi eksklusif berkenaan yang menggabungkan elemen klasik dan inovasi moden.

Koleksi Be Spoke menampilkan lapan rekaan istimewa yang dihasilkan melalui penelitian rapi, dengan setiap helaian merupakan kombinasi unik antara material pilihan, sulaman halus serta perincian lace eksklusif bagi menyerlahkan nilai keanggunan dan kemewahan si pemakai.

Pengurus Pemasaran dan Jualan Hanna Rauda, Alia Athirah Zainudin berkata, penghasilan koleksi runway itu memerlukan komitmen tinggi bagi memastikan standard eksklusiviti jenama berkenaan terus terpelihara.

“Istimewa untuk koleksi runway ini, kami mengambil masa kira-kira seminggu untuk menyiapkan lapan rekaan Be Spoke. Kombinasi material, sulaman dan lace yang unik menjadikan setiap helaian ini benar-benar eksklusif dan memukau, khusus buat mereka yang menghargai seni pertukangan tangan dalam fesyen,” katanya.

hanna rauda
Gabungan elemen tradisional dan inovasi moden menerusi koleksi Warisanku, Aurora dan Pesona menyerlahkan komitmen Hanna Rauda terhadap kualiti serta estetika kontemporari.

Selain koleksi runway, Hanna Rauda turut memperkenalkan 24 rekaan baharu di bawah tiga koleksi utama sempena musim perayaan tahun ini iaitu Warisanku, Aurora dan Pesona.

Koleksi Warisanku mengekalkan identiti klasik menerusi penggunaan material Thai Silk berkualiti tinggi dan mesra kulit, sekali gus menggabungkan elemen tradisional Melayu dengan sentuhan moden yang sesuai untuk wanita menghargai estetika warisan dalam gaya kontemporari.

Koleksi Aurora pula diinspirasikan daripada fenomena alam Aurora Borealis dan menjadi fenomena sehingga memerlukan penambahan stok kain sebanyak 10,000 meter. Ia menampilkan motif inovatif seperti Strawberry Matcha yang kini muncul sebagai pilihan paling popular.

Sementara itu, Koleksi Pesona melengkapkan variasi rekaan Hanna Rauda dengan sentuhan feminin yang kekal elegan.

Dalam pada itu, Hanna Rauda terus mengekalkan kelebihan kompetitifnya dengan menawarkan tempoh siap tempahan dalam masa lima hingga tujuh hari termasuk bagi koleksi Be Spoke.

hanna rauda
Dengan penekanan terhadap mutu jahitan dan ketepatan masa, Hanna Rauda terus menawarkan busana eksklusif yang elegan dan selesa untuk digayakan sempena musim perayaan.

Bagi menjamin kualiti dan ketepatan masa, jenama itu turut menambah tenaga mahir dalam bidang jahitan serta pemotongan bagi memastikan setiap busana bukan sahaja siap mengikut jadual, malah mengekalkan kehalusan sulaman yang menjadi identiti mereka.

“Matlamat kami adalah untuk memastikan setiap pelanggan menikmati busana yang bukan sahaja cantik dan elegan, tetapi juga selesa digayakan. Gabungan tradisi, inovasi dan servis pantas menjadi kunci utama mengapa Hanna Rauda terus relevan bagi wanita moden masa kini,” ujar Alia Athirah.

Dengan pelancaran koleksi Be Spoke serta rangkaian busana lebaran 2026, Hanna Rauda membuktikan bahawa kualiti eksklusif dan kepantasan perkhidmatan mampu bergerak seiring dalam memacu industri fesyen tempatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button