BERITA SEMASADALAM NEGERI

GovTech Malaysia pacu transformasi perkhidmatan digital kerajaan

KUALA LUMPUR – Inisiatif Government Technology (GovTech) Malaysia merupakan salah satu daripada agenda Kementerian Digital mentransformasi perkhidmatan digital kerajaan ke arah yang lebih moden, cekap dan berfokuskan rakyat.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, GovTech Malaysia menggunakan pendekatan ‘Whole-of-Government’ untuk membentuk ekosistem perkhidmatan digital yang bersepadu.

Pendekatan itu menyokong integrasi holistik dan inklusif antara agensi kerajaan.

“GovTech Malaysia bukan sahaja membawa perubahan kepada cara kerajaan beroperasi, tetapi juga meningkatkan pengalaman pengguna menerusi penyediaan perkhidmatan yang lebih responsif dan mesra rakyat,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Senator Datuk Seri Dr. Hajah Zurainah Musa di Dewan Negara pagi tadi.

Tambah beliau terdapat dua inisiatif utama yang telah dibangunkan dan digunakan secara rintis pada tahun 2024.

“Pertama ialah Malaysia Design System (MyDS) iaitu produk digital guna sama yang menyediakan platform standard komponen reka bentuk perkhidmatan digital kerajaan bagi memastikan keseragaman dalam antara muka (UI) dan pengalaman pengguna (UX).

“Kedua ialah Portal Hansard Parlimen yang merupakan sumber maklumat terbuka berkaitan Parlimen yang dilengkapi elemen kecerdasan buatan (AI), bertujuan memberikan akses informatif kepada Ahli Parlimen dan rakyat,” jelasnya.

Di samping itu, beliau turut mendedahkan beberapa inisiatif utama yang sedang dirancang untuk dilaksanakan pada tahun 2025.

Antaranya ialah MyGov Malaysia, iaitu aplikasi mudah alih bersepadu yang menghimpunkan perkhidmatan utama kerajaan serta diintegrasikan dengan Identiti Digital Nasional.

AskMyGov pula merupakan portal sehenti untuk rakyat bertanya soalan kepada kerajaan dan berfungsi sebagai repositori pusat untuk mencari soalan lazim (FAQ) serta jawapan.

Sementara itu, GoGov ialah platform pemendek pautan (link-shortener) yang menyediakan capaian kandungan kerajaan yang selamat dan dipercayai dan SiaranGovMy iaitu sumber rujukan berpusat bagi siaran media dan pengumuman kerajaan.

Gobind menambah, kementeriannya juga akan memperkenalkan kemudahan digital kerajaan yang inovatif, mudah dan selamat bagi menyokong usaha kerajaan dalam memperkasakan komuniti perniagaan, sejajar dengan agenda reformasi perkhidmatan awam.

“Kami berharap agar semua kementerian dan agensi kerajaan memberikan komitmen penuh terhadap inisiatif GovTech ini.

“Matlamatnya adalah untuk memastikan perkhidmatan yang lebih baik dapat disalurkan kepada rakyat dan komuniti perniagaan, sama ada di peringkat persekutuan, negeri atau pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Inisiatif GovTech Malaysia diyakini mampu memacu Malaysia ke arah era digital yang lebih progresif, menyokong keperluan rakyat dan komuniti perniagaan secara menyeluruh.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button