BERITA SEMASA

Program Gotong Royong MADANI serlah semangat komuniti di SK Jenderam Hilir

SUASANA ceria dan penuh semangat dapat dilihat apabila seluruh warga sekolah berganding bahu menjayakan Program Gotong Royong MADANI di Sekolah Kebangsaan (SK) Jenderam Hilir baru-baru ini.

Seawal pukul 7 pagi, para pelajar dan ibu bapa sudah hadir memenuhi perkarangan sekolah dengan membawa peralatan yang diperlukan.

Anak-anak pelajar juga teruja dapat membantu mencantikkan sekolah termasuk mengecat.

Acara itu bukan sekadar menceriakan persekitaran sekolah, malah menjadi wahana menyemai nilai murni, semangat kekitaan dan rasa tanggungjawab dalam kalangan murid, guru serta ibu bapa.

Program yang dirasmikan oleh Ahli Majlis Perbandaran Sepang Zon Jenderam, Halim Zainal Abidin itu disifatkan sebagai simbol kejayaan semangat MADANI yang ditekankan kerajaan iaitu semangat kerjasama dan keprihatinan demi manfaat bersama.

Ustazah Siti Fairuza (kiri) bersama para ibu dan guru yang membantu menceriakan persekitaran sekolah.

Menurut Halim, usaha membersihkan dan menceriakan sekolah bukan semata-mata aktiviti fizikal, tetapi mencerminkan keinginan untuk menyediakan persekitaran yang selamat, bersih dan kondusif untuk anak-anak.

“Terima kasih kepada semua ibu bapa, murid dan guru yang hadir. Komitmen anda mencerminkan keprihatinan terhadap persekitaran sekolah yang bukan sahaja bersih tetapi juga selesa untuk proses pembelajaran.

“Moga semangat gotong royong ini menjadi inspirasi kepada sekolah-sekolah lain,” ujar beliau.

Nazwan berharap inisiatif sebegini dapat diteruskan ke arah membina suasana pembelajaran yang ceria dan harmoni. 

Sementara itu, Yang Dipertua PIBG SKJH, Mohd Nazwan Saidi turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat.

Beliau menegaskan program itu sebagai satu langkah positif ke arah membina suasana pembelajaran yang ceria dan harmoni.

Aktiviti gotong-royong ini berjaya menyuntik semangat kerjasama yang baik.

“Semangat kerja berpasukan yang ditunjukkan hari ini amat membanggakan. Ia jelas menggambarkan kekuatan jaringan sokongan antara pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti.

“Inisiatif seperti ini perlu diteruskan kerana ia menyumbang kepada pembangunan sahsiah murid dan meningkatkan imej sekolah,” kata beliau.

Pelbagai aktiviti telah dijalankan sepanjang program berlangsung termasuk mengecat pagar sekolah dan tiang kaki lima, menanam bunga, mencantikkan ruang wuduk pelajar lelaki dan perempuan, membersihkan surau serta menampal kata-kata positif di tangga sebagai motivasi harian kepada murid.

Para pelajar juga bersemangat membantu guru dalam menceriakan suasana sekolah.

Sementara itu, Pengarah Program Gotong Royong MADANI SKJH, Ustazah Siti Fairuza Asmungi berkata, penganjuran program itu mencerminkan komitmen semua pihak dalam menyokong inisiatif khidmat sosial yang berimpak positif ke arah mewujudkan persekitaran sekolah yang lebih sejahtera, ceria dan berinformasi.

“Diharapkan segala usaha, tenaga, infaq, sumbangan serta kerjasama erat yang telah ditunjukkan tidak terhenti di sini sahaja, sebaliknya diteruskan dengan lebih bersungguh-sungguh.

Sebahagian ibu-ibu yang membantu guru membersihkan surau sekolah.

“Inilah semangat MADANI yang ingin kami terapkan iaitu masyarakat yang beradab, prihatin dan saling membantu demi kesejahteraan bersama.

“Semoga segala sumbangan dan pengorbanan ini diberkati Allah SWT dan memberikan impak positif kepada seluruh warga sekolah, khususnya anak-anak ABC (anak baik cerdik),” katanya.

Kerja mengecat pagar sekolah juga dilakukan secara bersama antara ibu bapa, pelajar dan guru-guru.

SK Jenderam Hilir mula ditubuhkan pada tahun 1946. Sekolah ini telah berkembang pesat sejak penubuhannya, dengan penambahan beberapa blok bangunan bagi menampung pertambahan murid dan keperluan pembelajaran.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button