Fenomena gerhana ‘bulan merah’ malam ini
KUALA LUMPUR – Fenomena gerhana bulan penuh dijangka berlaku malam ini bersamaan 14 Ramadan 1447 Hijrah bermula pukul 7.26 malam hingga 9.17 malam.
Menurut Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), kejadian itu merupakan satu-satunya gerhana bulan penuh bagi tahun 2026, manakala fenomena seterusnya hanya dijangka berlaku pada 31 Disember 2028.
“Fenomena gerhana penuh kali ini boleh disaksikan di Asia Timur, Australia, Lautan Pasifik, Amerika Utara dan Amerika Tengah. Di Asia Tengah dan sebahagian besar Amerika Selatan pula, hanya berlaku Gerhana Bulan Separa.
“Fenomena ini menyebabkan bulan kelihatan kemerahan,” menurut kenyataan itu hari ini.
Jelas MYSA, tempoh keseluruhan gerhana mengambil masa kira-kira lima jam 39 minit, manakala fasa penuh berlangsung hampir 58 minit.
Dalam pada itu, orang ramai berpeluang menyaksikan fenomena berkenaan secara langsung di Planetarium Negara bermula pukul 5 petang hingga 10 malam.
Pengunjung turut dialu-alukan untuk berbuka puasa di lokasi tersebut sebelum mengikuti program cerapan dan aktiviti yang disediakan.
Sementara itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menyarankan semua masjid, surau Jumaat dan surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan melaksanakan solat sunat serta khutbah gerhana.
Menurutnya, fenomena gerhana merupakan sebahagian daripada tanda kebesaran dan kekuasaan Allah SWT dalam penciptaan alam yang wajar dihayati serta dijadikan iktibar dalam kehidupan umat Islam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


