Gencatan senjata di Sweida, Syria kembali tenang selepas pertempuran berdarah minggu lalu
SWEIDA – Keadaan kembali tenang di wilayah Sweida, selatan Syria semalam selepas seminggu pergolakan berdarah antara pejuang Druze dan kumpulan lawan yang mengorbankan lebih 1,100 nyawa, lapor Arab News.
Gencatan senjata yang diumumkan kelmarin dilaporkan masih berkuat kuasa dengan tentera kerajaan Syria dikerah ke beberapa lokasi bagi menguatkuasakan perjanjian damai.
Sebelumnya, konflik tersebut telah menarik campur tangan tentera kerajaan, ketenteraan Israel dan suku bersenjata dari beberapa wilayah lain.

Jurugambar AFP melaporkan tiada kedengaran tembakan pada pagi Ahad di sekitar bandar Sweida.
Menurut seorang pegawai Bulan Sabit Merah, Omar Al-Malki, konvoi bantuan kemanusiaan pertama berjaya memasuki bandar tersebut hasil kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan Druze dan kerajaan.
Bagaimanapun, kerajaan Syria memaklumkan bahawa satu konvoi bantuan mereka dihalang oleh kumpulan Druze daripada memasuki bandar.
Kementerian Dalam Negeri Syria berkata, semua pejuang suku telah meninggalkan bandar dan pertempuran antara kejiranan telah dihentikan.
“Ini kali pertama bandar ini benar-benar tenang sejak seminggu lalu,” kata seorang doktor tempatan, Hanadi Obeid.
Kelmarin, Presiden Interim Syria, Ahmed Al-Sharaa menegaskan komitmennya untuk melindungi semua kaum dan agama di Syria selain mengumumkan gencatan senjata.
Seorang jurucakap Majlis Suku dan Klan Syria pula mengesahkan para pejuang keluar dari Sweida sebagai respons kepada perjanjian tersebut.
Minggu lalu, kira-kira 150,000 penduduk Sweida terkurung di rumah masing-masing selama beberapa hari tanpa bekalan elektrik, air dan makanan.
Bilik mayat di hospital utama dilaporkan penuh, malah jenazah terpaksa diletakkan di luar bangunan.
Agensi Migrasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan lebih 128,000 penduduk di wilayah itu telah dipindahkan akibat keganasan.
Utusan khas Amerika Syarikat (AS) ke Syria, Tom Barrack menyifatkan negara itu kini berada di ‘titik genting’ dan menyeru semua pihak agar menghentikan permusuhan serta menghentikan dendam suku yang berlarutan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


