Gempa bumi Kamchatka: Tsunami lima meter landa kawasan terpencil Rusia, Hawaii, Jepun
MOSCOW – Gelombang tsunami setinggi lima meter membadai Semenanjung Kamchatka di Timur Jauh Rusia hari ini susulan gempa bumi kuat berukuran 8.8 magnitud yang memaksa pemindahan besar-besaran penduduk di kawasan pantai Hawaii, Jepun dan Pasifik.
Kejadian gempa cetek itu mencetuskan gegaran berpanjangan yang bukan sahaja meranapkan beberapa struktur bangunan malah turut menyebabkan kecederaan penduduk di kawasan pedalaman Kamchatka yang terjejas teruk.
Seorang penduduk tempatan di bandar Petropavlovsk-Kamchatsky, Yaroslav, 25, menceritakan detik cemas yang dialami ketika kejadian.

“Saya terus keluar dari bangunan. Rasanya seperti dinding boleh runtuh bila-bila masa. Gegaran itu berlarutan sekurang-kurangnya tiga minit,” katanya memetik laporan Rueters.
Rakaman video yang dikongsi Kementerian Kesihatan Wilayah menunjukkan petugas perubatan sedang menjalankan pembedahan ketika bangunan hospital bergoncang kuat.
Di kawasan pesisir pantai Kamchatka, ombak tsunami mengakibatkan banjir di pelabuhan dan kilang pemprosesan ikan di bandar Severo-Kurilsk.
Beberapa kapal turut dihanyutkan dari tempat berlabuh, menurut kenyataan Kementerian Kecemasan Rusia.
BACA : Gempa bumi kuat gegar Kamchatka, amaran tsunami dikeluarkan hingga ke Amerika Utara
Rakaman dron yang tular memaparkan pemandangan dramatik apabila keseluruhan kawasan persisiran tenggelam ditelan air laut, manakala bangunan tinggi dan gudang dikelilingi banjir sebelum air kembali surut.
Gabenor Kamchatka, Vladimir Solodov menyifatkan gempa itu sebagai yang paling dahsyat dalam sedekad.
“Gempa bumi hari ini amat serius dan merupakan yang terkuat dalam dekad ini,” katanya dalam satu hantaran video di Telegram.
Pakar geologi Rusia pula mengesahkan gegaran tersebut sebagai yang paling kuat melanda wilayah itu sejak tahun 1952.
BACA : Tsunami dijangka landa Hawaii, Jepun, Chile dan pesisir Rusia selepas gempa di Kamchatka
Sementara itu, di Hawaii, gelombang setinggi 1.7 meter turut membadai beberapa kawasan pantai, memaksa penduduk berpindah ke kawasan tinggi dan bangunan bertingkat.
Pusat Amaran Tsunami Pasifik bagaimanapun menurunkan tahap amaran sekitar pukul 4.50 petang waktu tempatan (0850 GMT).
Pengawal Pantai Amerika Syarikat turut mengarahkan semua kapal meninggalkan pelabuhan, manakala Lapangan Terbang Honolulu kembali beroperasi tidak lama selepas itu.
Lapangan terbang utama di Maui pula dilaporkan masih ditutup ketika ini dengan penumpang berlindung di terminal, menurut Jabatan Pengangkutan Hawaii.
Di Jepun pula, beberapa kawasan pantai yang pernah dilanda tsunami besar pada tahun 2011 turut menerima arahan berpindah bagi mengelak sebarang risiko berulang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














