SUKAN

Malaysia perkukuh penyelesaian pertikaian sukan ASEAN melalui Forum ASEAN Sports ADR 2025

KUALA LUMPUR – Malaysia mengambil langkah proaktif dalam memperkukuh mekanisme penyelesaian pertikaian sukan serantau menerusi penganjuran Forum ASEAN Sports ADR 2025 selari dengan kepengerusian dalam ASEAN tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, forum itu menjadi platform penting dalam memastikan keadilan dan integriti dalam sukan dengan mengetengahkan mekanisme penyelesaian pertikaian alternatif (ADR) yang lebih sistematik.

Malaysia perkukuh penyelesaian pertikaian sukan ASEAN melalui Forum ASEAN Sports ADR 2025
Malaysia perkukuh penyelesaian pertikaian sukan ASEAN melalui Forum ASEAN Sports ADR 2025

“Forum itu bertujuan membawa atlet dan pakar dari ASEAN bagi menyelaraskan visi bersama dalam meningkatkan penyelesaian pertikaian sukan serta memperkukuh tadbir urus dalam industri ini,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran forum berkenaan di Auditorium AIAC, hari ini.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zamri Misman; serta Ketua Pegawai Eksekutif AIAC, Datuk Almalena Sharmila Johan.

Azalina berkata, tema forum kali ini, “Ensuring Fair Play: Advancing Sports Dispute Resolution in Asia”, menekankan kepentingan prinsip keadilan dalam bidang sukan.

“Konsep ‘fair play’ bukan sekadar slogan, tetapi ia melibatkan usaha berterusan dalam memastikan keadilan dan ketelusan dalam sebarang keputusan sukan, termasuk penyelesaian pertikaian yang melibatkan atlet, jurulatih dan badan sukan,” katanya lagi.

Menurutnya, sesi dialog yang dianjurkan dalam forum itu akan menampilkan wakil badan sukan, pengamal undang-undang dan atlet bagi membincangkan cabaran utama dalam industri sukan, termasuk jumlah pertikaian yang tinggi serta kurangnya kesedaran mengenai penyelesaian pertikaian yang berkesan.

“Banyak pertikaian dalam sukan timbul akibat kekurangan kesedaran mengenai penyelesaian yang tersedia.

Forum itu akan membantu memberikan kefahaman yang lebih jelas mengenai mekanisme penyelesaian pertikaian sukan di peringkat ASEAN,” katanya lagi.

Azalina turut berkata, inisiatif itu selaras dengan penganjuran ASEAN Law Forum 2025 yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur dengan kerjasama Sekretariat ASEAN, negara anggota, serta Jepun sebagai rakan dialog ASEAN Senior Law Officials’ Meeting (ASLOM).

“Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN memberi peluang untuk kita membentuk dasar serantau yang mengutamakan akauntabiliti dan akses kepada keadilan, bukan sahaja dalam bidang pentadbiran dan perdagangan, tetapi juga dalam sukan,” katanya lagi.

Menurut beliau, forum itu juga dijangka memperkukuh usaha memperkenalkan dasar baharu serta reformasi undang-undang berkaitan penyelesaian pertikaian sukan, sekali gus memastikan pentadbiran sukan di ASEAN lebih adil, telus dan berdaya tahan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button