BERITA SEMASA

FOI 2025 melabuhkan tirai dengan persembahan gemilang Orkestra Tradisional Malaysia

PUTRAJAYA – Festival Idea Putrajaya 2025 (FOI 2025) melabuhkan tirainya dengan penuh warna-warni menerusi Program Jangkauan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM): Sounds of Malaysia yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam tadi.

FOI 2025 melabuhkan tirai dengan persembahan gemilang Orkestra Tradisional Malaysia
Orkestra Tradisional Malaysia

Program anjuran Istana Budaya di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu menjadi acara kemuncak festival tiga hari yang menghimpunkan dunia pendidikan, seni dan kreativiti dalam satu platform nasional.

UPM melalui Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS) turut dilantik oleh KPT sebagai rakan strategik bagi menyelaras penyertaan bakat pelajar dari universiti awam.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Istana Budaya, Johan Cruyff @ Mohd Johari Md Nordin berkata, Sounds of Malaysia menjadi simbol kejayaan OTM dalam mengangkat muzik tradisional ke tahap yang lebih tinggi bersempena ulang tahun ke-15 penubuhannya.

“Program ini bukan sekadar persembahan seni, tetapi wadah untuk memperkenalkan keindahan muzik tradisional kepada generasi muda di peringkat universiti, selain mengangkat nilai kemanusiaan dan semangat kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Allahyarham Mohd Yazid Zakaria, pengasas utama OTM dan bekas Pengarah Muzik serta Konduktor orkestra itu yang meninggal dunia pada 29 Oktober lalu.

Sebagai tanda penghormatan, persembahan lagu Musafir Rindu diselitkan dalam segmen khas Belasungkawa bagi mengenang jasa besar Allahyarham dalam memartabatkan muzik tradisional negara selama lebih dua dekad.

Kini, tugas memimpin OTM diteruskan oleh Shamsul Zin yang mengetuai persembahan malam tersebut.

Persembahan Sounds of Malaysia kali ini dianggap antara yang terbesar pernah dianjurkan apabila melibatkan lebih 120 tenaga kerja Istana Budaya termasuk pemuzik Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) dan penari Artis Tari Istana Budaya (ARTISTANA).

Lebih 150 pelajar dan tenaga akademik daripada 12 universiti awam dan swasta turut mengambil bahagian sebagai penyanyi, penari, pemuzik, koir dan kru produksi.

Antara universiti terlibat ialah UPM, UKM, UiTM, UNIMAS, UPSI, UM, USM, UUM, USIM, UMT, UMK dan UCSI.

Persembahan dibahagikan kepada dua segmen yang menampilkan gabungan pelbagai alat muzik tradisional seperti rebab, serunai, caklempong, gamelan, sitar, gendang Sunda, gambus, yanqin dan guzheng.

Sebanyak 23 lagu dipersembahkan termasuk alunan tradisional, klasik Melayu, Barat dan pop moden seperti Merawat Luka Terpendam, Gelisah Mimpi, Luluh, Bayang, Jangan Mati Rasa Itu, Sesaat, Kamu dan Nafas Cinta.

Menambahkan seri persembahan malam penutup itu, tiga penyanyi popular tanah air Liza Hanim, Khai Bahar dan Aina Abdul turut membuat persembahan bersama pelajar universiti yang mendapat tepukan gemuruh daripada penonton yang memenuhi dewan.

KPT berkata, kolaborasi antara kementerian itu, Istana Budaya dan universiti tempatan melambangkan hubungan erat antara pendidikan dan kesenian yang mampu melahirkan mahasiswa berilmu, berjati diri dan berjiwa seni.

“Sounds of Malaysia bukan sahaja menjadi persembahan penutup yang memukau, tetapi juga simbol penyatuan antara dunia pendidikan dan kebudayaan, selaras dengan semangat Malaysia MADANI yang menekankan keseimbangan antara ilmu, nilai dan seni,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button