BERITA SEMASA

Flat haram dibina dengan kebenaran pemilik tanah

CYBERJAYA – Flat haram yang didakwa tidak memiliki kelulusan dan menjadi penempatan warga asing di Sungai Tekali, Hulu Langat dipercayai dibina setelah pemilik membenarkan penggunaan tanah miliknya bagi tujuan tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd. Aziz menjelaskan, penempatan itu turut menyediakan kemudahan utiliti seperti bekalan air dan elektrik sekali gus bukan sahaja melanggar peraturan ditetapkan, malah menyukarkan usaha agensi kerajaan menangani isu itu secara berkesan.

“Perkara ini bukanlah isu baharu dan telah saya bangkitkan dalam Mesyuarat Tindakan Daerah Hulu Langat sejak tahun lalu untuk perhatian serta tindakan agensi-agensi berkaitan.

“Untuk makluman, pelbagai tindakan penguatkuasaan, pemantauan dan operasi telah dilaksanakan oleh agensi-agensi berkaitan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Oleh kerana sebahagian tindakan dan maklumat berkaitan melibatkan operasi penguatkuasaan tidak boleh didedahkan secara terbuka, beliau berkata banyak perkara serta bukti tidak dapat dikongsikan kepada umum pada ketika ini.

“Namun, berdasarkan maklumat dan tindakan yang telah dilaksanakan oleh agensi berkaitan, jelas bahawa peranan pemilik tanah merupakan antara faktor utama menyumbang kepada berlarutannya isu ini.

“Perkara ini akan saya bangkitkan semula dalam Mesyuarat Tindakan Daerah akan datang. Pada pandangan saya, tindakan tidak boleh hanya tertumpu kepada penghuni semata-mata, sebaliknya perlu memberi fokus kepada pihak yang membenarkan dan memudahkan aktiviti ini berlaku di atas tanah milik mereka,” katanya lagi.

Dalam hantaran sama, Johan turut berterima kasih kepada pelakon dan penyampai radio, Azad Jasmin kerana menularkan video berkenaan bagi membawa isu tersebut kepada perhatian umum.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button