Filipina dilanda Taufan ‘Super’ Fung‑Wong, lebih sejuta penduduk dipindahkan
MANILA – Taufan Fung-Wong yang melanda melanda bahagian timur laut Filipina semalam telah meragut dua nyawa, manakala lebih sejuta penduduk terpaksa dipindahkan, menurut laporan beberapa portal antarabangsa.
Dikenali sebagai Uwan oleh penduduk tempatan, Fung-Wong merupakan taufan tropika ke-21 yang melanda negara itu tahun ini.
Ia tiba di daratan hanya beberapa hari selepas Taufan Kalmaegi membadai kepulauan di Filipina yang meragut lebih 200 nyawa.

Semua sekolah dan pejabat kerajaan di seluruh Pulau Luzon termasuk Manila ditutup hari ini, manakala pasukan penyelamat dan petugas kecemasan dikerahkan membantu di kawasan terjejas.
Gambar yang tular menunjukkan rumah musnah, talian elektrik tumbang serta jambatan dan infrastruktur lain rosak teruk.
Terdahulu Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. mengisytiharkan keadaan bencana nasional selama setahun bagi mempercepatkan usaha bantuan dan pemulihan selepas Taufan Kalmaegi melanda pada Selasa minggu lalu.
“Kami akan memastikan semua langkah keselamatan diambil untuk melindungi rakyat kami dan mengurangkan impak bencana ini,” ujarnya memetik laporan media tempatan.
Menurut Pentadbiran Perkhidmatan Atmosfera, Geofizik dan Astronomi Filipina, Fung‑Wong yang kini semakin melemah daripada kategori taufan super telah bergerak meninggalkan Filipina melalui Laut China Selatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








