Filem American Doctor arahan anak Malaysia angkat sokongan negara terhadap Gaza
KUALA LUMPUR – Filem dokumentari American Doctor arahan pembuat filem kelahiran Pulau Pinang, Poh Si Teng, ditayangkan pada tayangan perdana di Festival Filem Sundance 2026 di Utah, Amerika Syarikat (AS), semalam.

Festival berprestij itu merupakan antara platform dokumentari terkemuka dunia dan American Doctor dipilih untuk bertanding dalam kategori Dokumentari AS, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.
Si Teng sebelum itu pernah menerima pencalonan Anugerah Oscar menerusi dokumentari pendek St Louis Superman serta memenangi Anugerah Emmy sebagai penerbit eksekutif filem Patrice: The Movie.
Beliau berkata, nilai belas kasihan, tanggungjawab serta kejelasan moral yang diterapkan sejak kecil menjadi asas kepada penghasilan dokumentari berkenaan.
Dirakam di Gaza, Jordan dan AS, American Doctor memaparkan kisah tiga doktor dari AS, terdiri daripada seorang berketurunan Palestin serta dua lagi masing-masing beragama Yahudi dan Zoroastrian, yang berkhidmat di Gaza ketika konflik memuncak.
Filem itu turut menyorot keberanian mereka mempertahankan prinsip kemanusiaan apabila sanggup mempertaruhkan kerjaya demi membela nasib rakan sekerja dan pesakit Palestin, selain berdepan tekanan politik.
Dirakam sepenuhnya dalam gaya vérité, dokumentari tersebut bermula di sebuah hospital di Gaza sebelum membawa penonton ke dewan Kongres AS, sekali gus mengupas tanggungjawab etika doktor dalam situasi peperangan.
Si Teng turut berkata, sokongan rakyat Malaysia sejak awal penghasilan filem berkenaan amat penting dalam menjayakan projek itu.
“Saya amat berbangga dengan kepercayaan dan kedermawanan rakyat Malaysia yang menjadikan American Doctor satu realiti,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
American Doctor disenaraikan sebagai kerjasama produksi Malaysia bersama rakan kongsi dari AS, Palestin, Qatar dan Denmark, mencerminkan sokongan berterusan Malaysia terhadap penceritaan kemanusiaan, khususnya berkaitan Palestin.
Penerbit bersama yang berpangkalan di Gaza, Mohammed Sawwaf serta pengarah fotografi, Ibrahim Al Otla, memainkan peranan penting dalam merakam situasi sebenar di hospital ketika krisis berlaku.
Sementara itu, Presiden Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), Jismi Johari yang juga Penerbit Eksekutif Bersama filem tersebut berkata, American Doctor sebagai medium penting advokasi antarabangsa bagi membuka mata dunia terhadap realiti di Gaza.
“Seiring tayangan filem itu di peringkat global, para pembuat filem berharap American Doctor menjadi bukti peranan Malaysia dalam menyokong penceritaan beretika serta perjuangan kemanusiaan di zon konflik,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
