Qatar tumpaskan rangkaian pengintip IRGC, 10 suspek ditahan
DOHA – Pihak berkuasa Qatar mengumumkan telah menumpaskan dua rangkaian yang didakwa berhubung dengan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) serta menahan 10 individu atas tuduhan pengintipan dan sabotaj di dalam negara itu.
Menurut laporan Agensi Berita Qatar (QNA) semalam, tujuh daripada suspek ditugaskan menjalankan kegiatan pengintipan terhadap kemudahan penting ketenteraan di negara itu, manakala tiga lagi dipercayai merancang melaksanakan operasi sabotaj.
“Semasa soal siasat, suspek mengaku mempunyai kaitan dengan Pengawal Revolusi Iran dan ditugaskan menjalankan misi perisikan serta aktiviti sabotaj,” menurut laporan itu.
Pihak berkuasa Qatar turut menemui lokasi dan koordinat kemudahan sensitif, selain peranti komunikasi dan peralatan teknologi dalam milikan suspek.
Ketegangan serantau memuncak susulan beberapa siri serangan balas yang dilancarkan Tehran terhadap Qatar dan beberapa negara Asia Barat selepas Amerika Syarikat (AS) dan Israel memulakan serangan bersama ke atas Iran, Sabtu lalu.
Iran mendakwa sasarannya adalah aset milik AS di rantau berkenaan, namun laporan menyebut infrastruktur awam termasuk lapangan terbang dan hotel turut terjejas.
Kementerian Pertahanan Qatar memaklumkan pihaknya mengesan pelancaran tiga peluru berpandu kruis, 101 peluru berpandu balistik serta 39 dron ke ruang udara negara itu sejak Sabtu.
Bagaimanapun, kesemua ancaman tersebut berjaya dipintas dan dimusnahkan oleh sistem pertahanan udara Qatar.
Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed al-Ansari berkata, negaranya terkejut kerana tidak dimaklumkan lebih awal mengenai serangan berkenaan.
“Qatar terkejut dengan serangan yang tidak berasas ini. Terdapat cubaan menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad, namun semuanya berjaya digagalkan. Tiada peluru berpandu yang sampai ke lapangan terbang,” katanya.
Beliau turut memaklumkan hampir 8,000 individu terkandas di Qatar susulan penutupan ruang udara akibat konflik tersebut.
Dalam perkembangan sama, Oman yang sebelum ini menjadi pengantara rundingan antara Iran dan AS, menggesa agar gencatan senjata dilaksanakan segera.
Menteri Luar Oman, Badr al-Busaidi menegaskan masih terdapat ruang diplomasi untuk meredakan ketegangan dan mengelakkan perang daripada terus memuncak.
Sementara itu, Presiden AS, Donald Trump menyatakan solidariti bersama negara-negara Asia Barat dan menyalahkan Iran atas serangan tersebut, sambil menegaskan negara-negara terbabit tidak mempunyai kaitan dengan konflik yang tercetus.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








