Dua remaja maut dirempuh, pemandu disyaki terlibat aktiviti dadah
TEMERLOH — Dua remaja perempuan berusia 18 tahun maut selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta dipandu lelaki yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah, di persimpangan lampu isyarat Jalan Tengku Ismail, malam kelmarin.
Mangsa dikenali sebagai Nur Alya Irdina Mohd Azam dari Taman Temerloh Jaya Indah dan rakannya Siti Nur Syafiqah Mohd Arif dari Felda Bukit Damar, Lanchang.
Menurut Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan, kejadian berlaku sekitar pukul 11 malam ketika motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz yang dinaiki mangsa berhenti di persimpangan lampu isyarat sebelum dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta Perodua Bezza.
“Siasatan awal mendapati kenderaan terbabit dipandu seorang lelaki berusia 38 tahun dari Kepong, Kuala Lumpur. Suspek tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.
“Ujian saringan air kencing ke atas suspek menunjukkan keputusan negatif. Namun, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan menemui dua peket plastik lutsinar mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 50.85 gram dan heroin seberat 0.85 gram yang disembunyikan di bahagian tempat duduk belakang.
“Suspek kini ditahan dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan cuai serta Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” tambah beliau.
Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) untuk bedah siasat, manakala kenderaan terlibat dirujuk ke PUSPAKOM bagi pemeriksaan teknikal.
Polis sedang mengesan saksi kejadian bagi membantu siasatan dan orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran atau tampil memberikan keterangan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








