Dua kebakaran hutan di Sumatera musnahkan kawasan seluas 46 hektar – BNPB
JAKARTA – Terdapat dua insiden kebakaran hutan dan tanah berasingan di Sumatera Utara dan Sumatera Barat yang memusnahkan kawasan seluas 46 hektar.
Jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Abdul Muhari berkata, beberapa titik panas dikesan sejak Khamis lalu di daerah Girsang Sipangan Bolon dan Pematang Sidamanik, di Kabupaten Simalungun, Sumatera Utara.
“Badan Pengurusan Bencana Daerah Simalungun segera berkoordinasi dengan pihak berkuasa tempatan bagi mengawal kebakaran yang dipercayai berpunca daripada cuaca kering dan angin kencang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sehingga semalam, sekurang-kurangnya 25 hektar tanah terbakar sebelum berjaya dikawal dengan bantuan unit kawalan kebakaran hutan dan tanah khas Indonesia, Manggala Agni, pasukan bomba tempatan serta sukarelawan komuniti.
Sementara itu, di Sumatera Barat, kebakaran berasingan berlaku petang semalam di Nagari Padang Ganting dan Nagari Pagaruyung, Kabupaten Tanah Datar, namun berjaya dipadamkan.
“Kira-kira 11 hektar tanah terjejas di Padang Ganting manakala 10 hektar lagi di Pagaruyung,” kata Abdul Muhari.
Dengan sebahagian besar wilayah Indonesia kini memasuki musim kemarau, BNPB menggesa kerajaan wilayah untuk sentiasa berwaspada terhadap risiko kebakaran hutan dan tanah.
Pihak berkuasa turut dinasihatkan memperkukuh langkah mitigasi, termasuk rondaan bersama dan pemadaman awal titik panas, terutamanya di kawasan berisiko tinggi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








