LUAR NEGARA

Dua anak kapal maut dalam insiden kapal karam di Laut China Selatan

MANILA – Sekurang-kurangnya dua anak kapal disahkan maut manakala 15 yang lain berjaya diselamatkan selepas sebuah kapal kargo berdaftar di Singapura yang membawa 21 kru warga Filipina karam di perairan Laut China Selatan.

Menurut pihak berkuasa China dan Filipina, empat mangsa lagi masih hilang dalam kejadian pada awal pagi tadi, kira-kira 100 kilometer barat laut Terumbu Karang Scarborough.

Kementerian Pertahanan Kebangsaan China berkata, Pengawal Pantai China telah mengerahkan dua kapal untuk melaksanakan operasi menyelamat sejurus menerima laporan kejadian, memetik laporan Al Jazeera.

Kapal karam
Beberapa anggota Pengawal Pantai China menyelamatkan seorang kru kapal dari Filipina.

Sementara itu, Pengawal Pantai Filipina turut mengerahkan dua kapal dan dua pesawat bagi membantu operasi mencari dan menyelamat kru kapal kargo yang dikenal pasti sebagai Devon Bay.

Komando Teater Selatan Tentera China dalam kenyataan yang dimuat naik di platform Weibo memaklumkan bahawa pasukan penyelamat China berjaya mengeluarkan sekurang-kurangnya 17 anak kapal Filipina dari laut.

“14 mangsa dalam keadaan stabil, seorang menerima rawatan manakala dua lagi ditemukan meninggal dunia,” katanya.

Agensi berita antarabangsa pula melaporkan hubungan dengan kapal tersebut terputus pada malam Khamis ketika ia sedang belayar menuju ke wilayah Guangdong, selatan China.

Dalam perkembangan berkaitan, Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) mengesahkan bahawa kapal jenis bulk carrier itu karam ketika dalam perjalanan ke Yangjiang, China.

“MPA sedang berhubung dengan pemilik kapal dan pihak berkuasa berkaitan operasi mencari dan menyelamat serta memberikan sokongan yang diperlukan.

“Siasatan juga akan dijalankan terhadap insiden ini,” menurut kenyataan rasmi MPA.

Kawasan Terumbu Karang Scarborough yang kaya dengan sumber perikanan sering menjadi lokasi pertikaian antara kapal China dan Filipina.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button