BERITA SEMASADALAM NEGERILUAR NEGARA

Dr Ravigadevi sertai barisan Felo Royal Society

KUALA LUMPUR – Saintis negara, Dr Ravigadevi Sambanthamurthi mencipta sejarah menjadi penyelidik pertama dari negara ini dilantik sebagai Felo Royal Society, institusi Sains tertua dan paling berprestij di dunia.

Menurut Presiden Royal Society, Sir Adrian Smith, pelantikan Felo baharu itu mencerminkan kualiti dan sumbangan luar biasa dalam bidang masing-masing.

“Felo yang dipilih tahun ini mewakili barisan pemikir dan penyelidik paling cemerlang daripada penemuan asas Sahins sehinggalah kepada hasil kajian yang memberi impak nyata dalam bidang kesihatan, teknologi dan dasar global,” katanya.

Pelantikan Dr Ravigadevi diumumkan Royal Society yang berpangkalan di United Kingdom, bersama senarai tokoh antarabangsa dalam bidang AI, mikroskopi elektron, kesihatan global dan neurosains termasuk penerima Hadiah Nobel dan penyelidik utama pembangunan AlphaFold serta pencegahan HIV.

Dr Ravigadevi dijadual menghadiri majlis pelantikan rasmi di London pada 11 Julai ini, dua hari sebelum ulang tahunnya yang ke-70 dan akan menandatangani Royal Society Charter Book yang turut memuatkan tandatangan tokoh sains terkemuka seperti Sir Isaac Newton.

“Menjadi sebahagian daripada Royal Society adalah satu penghormatan luar biasa dalam kerjaya saya. Namun lebih penting, ini adalah pengiktirafan terhadap usaha kolektif komuniti penyelidik yang telah bersama-sama saya sepanjang perjalanan ini.

“Kemajuan saintifik tidak berlaku secara bersendirian. Setiap pencapaian adalah hasil kerjasama global yang kukuh serta kesungguhan untuk memastikan sains berfungsi demi manfaat manusia dan alam sekitar,” katanya memetik wawancara Free Malaysia Today.

Dr Ravigadevi berkhidmat sebagai perunding saintifik di Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan mengetuai Bahagian Sains Biologi, Pertanian dan Alam Sekitar di Akademi Sains Malaysia.

Beliau juga merupakan ahli Lembaga Pemegang Amanah di Yayasan Rekacipta dan Reka Bentuk Malaysia serta terlibat aktif dalam pelbagai inisiatif saintifik di peringkat nasional dan antarabangsa.

Royal Society memaklumkan senarai Felo dan Ahli Luar Negara tahun ini melibatkan penyelidik dari pelbagai negara termasuk Malaysia, Singapura, China, Afrika Selatan dan Switzerland.

“Mereka kini menjadi sebahagian daripada komuniti elit yang pernah disertai oleh tokoh-tokoh lagenda seperti Charles Darwin, Albert Einstein, Stephen Hawking, Dorothy Hodgkin dan Subrahmanyan Chandrasekhar,” katanya dalam kenyataan rasmi.

Pelantikan Dr Ravigadevi bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi simbol kematangan ekosistem penyelidikan negara serta bukti bahawa sains Malaysia mampu bersaing dan dihargai di peringkat tertinggi dunia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button