BERITA SEMASA

Dr Noor Hisham dilantik Pengerusi Kumpulan Kesihatan UCSI

CYBERJAYA – Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hari ini diumumkan dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Kesihatan UCSI dan Profesor Adjung di universiti milik konglomerat terkemuka negara itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UCSI, Profesor Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir berkata, organisasi itu akan mendapat manfaat daripada kepakaran dan pengalaman luas Dr Noor Hisham dalam dasar penjagaan kesihatan awam.

“Kita semua mengingati Dr Noor Hisham atas kepimpinan dan kehadirannya pada kemuncak perjuangan Malaysia menentang Covid-19.

“Beliau memimpin melalui teladan dan rekod prestasinya dalam perkhidmatan awam tiada tandingan. Saya yakin ia akan membawa UCSI ke tahap yang lebih tinggi,” kata Dr Siti Hamisah dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham sebelum ini bersara sebagai Ketua Pengarah Kesihatan pada April lalu selepas 35 tahun berkhidmat dan menerima pelbagai anugerah atas sumbangannya.

Beliau juga diiktiraf oleh China Global TV Network sebagai salah seorang daripada tiga doktor terbaik dunia yang mengetuai usaha memerangi Covid-19 bersama pakar penyakit Amerika Syarikat, Dr Anthony Fauci dan bekas Ketua Pengarah Kesihatan New Zealand, Ashley Bloomfield.

Selaku Pengerusi Kumpulan Kesihatan UCSI, Dr. Hoor Hisham bertanggungjawab menetapkan hala tuju strategik Hospital UCSI di Port Dickson dan anak syarikat lain serta berkhidmat sebagai pakar perunding bedah (pelawat) dalam bidang payudara, endokrin dan pembedahan am.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button