
DOF terus pantau populasi ikan asing
KUALA LUMPUR – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menangkap lebih 600 ekor ikan pelbagai spesies melalui program memburu ikan asing bersama komuniti di Sungai Kuyoh, Bukit Jalil, di sini, pagi tadi.
Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain berkata, program itu adalah usaha DOF dan komuniti untuk mengekang populasi spesies ikan asing invasif yang semakin mengancam perairan dan spesies tempatan dalam ekosistem negara.
“Hasil tangkapan di Sungai Kuyoh, spesies ikan Tilapia didapati paling banyak ditemui, ikan Bandaraya, Keli Afrika, Lampan Jawa dan ikan Jaguar dari spesies Cichlid.
“Program hari ini melibatkan 200 orang peserta yang terdiri daripada agensi kerajaan dan swasta, kelab komuniti pemburu ikan bandaraya, penduduk setempat, serta institusi pengajian tinggi awam (IPTA),” katanya kepada media di sini.
“Aktiviti menangkap ikan asing di sungai tersebut dengan menggunakan jala mengambil masa kira-kira lebih 2 jam pada sebelah pagi, dah akan disusuli dengan tangkapan di sebelah petang.
“DOF giat mempertingkatkan program kesedaran awam kepada golongan sasar untuk menjelaskan kesan jangka masa panjang sekiranya ikan asing dilepaskan sewenang-wenangnya ke perairan umum,” tambahnya lagi.
Beliau berkata, tindakan proaktif penting untuk mengekalkan biodiversiti dan ekosistem demi kesinambungan sumber perikanan darat untuk generasi akan datang.

“DOF berterima kasih dengan kerjasama rakan strategik dari Aquaria KLCC, Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya, Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Perbadanan Stadium Bukit Jalil dalam usaha sama mengurangkan spesies ikan asing di Sungai Kuyoh ini,” katanya.
Dalam pada itu, aktiviti tersebut merupakan sokongan kepada usaha global dengan bertepatan tema Hari Biodiversiti Sedunia 2024 hari ini.
Katanya, program yang sama itu akan diadakan pada 9 Jun ini di Sungai Langat, Selangor untuk memulihara ekosistem sungai dari ancamana ikan asing.
Sementara itu, pemuliharaan juga dijalankan dengan pelepasan 80,000 benih ikan tempatan seperti ikan lampam sungai, terbul dan baung untuk meningkatkan ikan tempatan di sini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
