BERITA SEMASA

Data guru diselaras tangani isu guru mengajar bukan opsyen

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) menubuhkan Sekretariat Bersama KPM–Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai langkah jangka panjang bagi menangani isu guru mengajar mata pelajaran bukan opsyen di sekolah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sekretariat berkenaan berfungsi menyelaras data keperluan sebenar guru di sekolah dengan data pengambilan graduan pendidikan oleh universiti awam, sekali gus memastikan penempatan guru lebih tepat mengikut opsyen.

“Perkongsian data antara kedua-dua kementerian itu merupakan langkah strategik bagi mengurangkan penugasan guru mengajar mata pelajaran di luar bidang kepakaran masing-masing.

“Penugasan guru bukan opsyen dibuat berdasarkan keperluan operasi semasa di sekolah, khususnya bagi memastikan tiada kelas terjejas akibat kekurangan guru opsyen tertentu,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen menjawab soalan Datuk Seri Doris Sophia Anak Brodi (GPS–Sri Aman).

Fadhlina berkata, KPM melaksanakan penempatan guru baharu berdasarkan kekosongan jawatan mengikut keperluan opsyen atau kluster mata pelajaran di setiap negeri, yang diselaraskan oleh jawatankuasa khas di peringkat kementerian.

“Jawatankuasa itu berperanan menyemak data keperluan guru mengikut opsyen dengan matlamat memastikan keseimbangan penempatan berdasarkan opsyen dan lokaliti,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, KPM turut mengambil langkah proaktif membantu guru bukan opsyen melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dengan penyediaan manual kit sokongan bagi meningkatkan keberkesanan penyampaian.

Menurutnya, bagi mata pelajaran Sejarah, KPM menyediakan Manual Kecemerlangan Sejarah (MKaH) dan Manual Maksimum Sejarah (MAXSe), selain Kit Didik Hibur bagi memperkukuh penguasaan bahasa Melayu melalui kaedah pembelajaran yang lebih santai dan kreatif.

Fadhlina berkata, bagi memastikan kualiti pengajaran dan pembelajaran serta standard pendidikan kebangsaan terus terpelihara, KPM turut menekankan aspek perkongsian kepakaran dan peningkatan kualiti latihan guru.

“Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) bekerjasama dengan fakulti pendidikan universiti awam melalui perkongsian pengalaman, pelaksanaan Program Sekolah Pengajar serta perbincangan berterusan bagi memperkukuh kompetensi guru,” katanya lagi.

Menurut beliau, melalui langkah-langkah yang dilaksanakan itu, KPM yakin kualiti pengajaran, keberkesanan pembelajaran dan pencapaian standard pendidikan kebangsaan dapat terus dipastikan walaupun mata pelajaran diajar oleh guru bukan opsyen.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button