JENAYAH & MAHKAMAH

Cliff Umar mengaku miliki heroin

SHAH ALAM – Juara sebuah program nyanyian musim ketujuh, Cliff Umar mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki heroin, Ahad lalu.

Cliff Umar atau nama sebenarnya, Abdullah Umar Joseph, 42, membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sasha Diana Sabtu, lapor BH Online.

Bapa kepada empat anak itu didakwa memiliki heroin seberat 0.39 gram di tepi Jalan Persiaran Kewajipan, Subang Jaya dekat sini pada jam 3.30 petang, 26 Mei lalu.

Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (3) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Annur Athirah Amran memohon tarikh baharu bagi sebutan laporan kimia dan mencadangkan jaminan sebanyak RM6,000.

Peguam Sallehuddin Salam yang mewakili Cliff Umar dalam rayuannya memohon jaminan rendah memandangkan anak guamnya menanggung isteri dan empat anak yang masih bersekolah.

“Anak guam saya bekerja sebagai pemain muzik dengan pendapatan tidak menentu,” katanya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM3,300 dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan laporan kimia ditetapkan 31 Julai depan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button