CEO Astronomer letak jawatan selepas aksi mesra di konsert Coldplay tular
NEW YORK – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Astronomer, sebuah syarikat teknologi data dari Amerika Syarikat, Andy Byron meletak jawatan selepas rakaman video memaparkan dirinya berpelukan dengan seorang wanita, dipercayai rakan sekerjanya tular baru-baru ini.
Insiden itu berlaku ketika Byron menghadiri konsert Coldplay di Stadium Gillette, Massachusetts pada Rabu lalu.
Dalam satu kenyataan rasmi, syarikat Astronomer mengesahkan peletakan jawatan Byron telah diterima oleh lembaga pengarah dan berkuat kuasa serta-merta.

“Andy Byron telah menyerahkan surat peletakan jawatannya dan lembaga pengarah telah bersetuju menerimanya.
“Kepimpinan kami seharusnya mencerminkan nilai, budaya dan akauntabiliti yang kami pegang sejak awal penubuhan. Malangnya, piawaian tersebut tidak dipenuhi,” menurut kenyataan syarikat itu.
Susulan itu, jawatan CEO kini dipangku oleh pengasas bersama dan Ketua Pegawai Produk, Pete DeJoy sebagai CEO interim sementara menanti pelantikan pengganti rasmi.
Astronomer turut menegaskan bahawa misi syarikat untuk menyelesaikan cabaran berkaitan data dan kecerdasan buatan akan terus diteruskan meskipun sedang menghadapi perhatian umum yang luar biasa.
Insiden yang mencetuskan peletakan jawatan Byron berlaku pada 16 Julai lalu ketika berlangsungnya konsert Coldplay di Stadium Gillette.
Aksi mesra beliau bersama seorang wanita yang dirakam menerusi skrin besar ‘kiss cam’ menarik perhatian ribuan penonton apabila kedua-duanya segera tunduk dan cuba menyorokkan wajah selepas menyedari gelagat mereka dirakam.
“Sama ada mereka memang ada skandal atau betul-betul pemalu,” ucap vokalis Coldplay, Chris Martin pada konsert tersebut.
Video tersebut kemudian tersebar meluas dan netizen mengenal pasti lelaki dalam rakaman sebagai Byron manakala wanita berkenaan dipercayai Ketua Pegawai Sumber Manusia Astronomer, Kristin Cabot.
Byron dalam satu kenyataan di media sosialnya baru-baru menyatakan rasa kesal terhadap insiden yang disifatkannya sebagai pencerobohan privasi kepada khalayak awam.
Sementara itu, New York Post melaporkan isteri Byron, Megan Kerrigan boleh menjadi wanita yang sangat kaya jika memutuskan untuk meninggalkan suaminya yang curang.
“Disebabkan undang-undang perkahwinan 50/50 di Massachusetts, Megan yang mempunyai dua orang anak bersama Byron berpotensi memperoleh separuh daripada kekayaan suaminya yang dianggarkan bernilai antara AS$20 juta (RM85 juta) hingga AS$70 juta (RM297 juta),” menurut laporan tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
