Campak bayi dari tingkat 10: Wanita muda mengaku bersalah
JOHOR BAHRU – Seorang wanita muda hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen atas dakwaan menyebabkan kematian bayi perempuannya yang baru lahir, dengan mencampakkan mangsa dari tingkat 10 sebuah flat pada bulan lepas.
Pengakuan bersalah itu dibuat oleh tertuduh, Nuran Batrisya Jamaludin, 22, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zamir Suhaimee.
Wanita yang masih belum berkahwin itu kelihatan tenang dan mengangguk faham sepanjang prosiding berlangsung.
Dia didakwa melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian seorang bayi perempuan di tempat letak kenderaan di sebuah Program Perumahan Rakyat (PPR) di Skudai antara 11 pagi hingga 2.30 petang pada 20 Mei lepas.
Mengikut pertuduhan, perbuatan yang menyebabkan kematian bayi perempuan itu dilakukan di kawasan tempat letak kenderaan sebuah Program Perumahan Rakyat (PPR) di Skudai, antara pukul 11 pagi hingga 2.30 petang pada 20 Mei lalu.
Pertuduhan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menetapkan 3 Julai depan untuk serahan dokumen, menunggu laporan bedah siasat serta keputusan hukuman.
Pegawai Pendakwa R. Nevina tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap wanita itu yang mempunyai seorang lagi bayi, iaitu kembar kepada mangsa.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan tertuduh yang tidak diwakili peguam diikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin, selain dikenakan syarat tambahan termasuk menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran.
Sebelum ini, polis dilapor menahan seorang wanita tempatan kerana dipercayai mencampak bayi perempuan yang baru dilahirkannya dari tingkat 10 sebuah rumah pangsa di bandar raya ini dalam kejadian pada Mei lepas.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
