JENAYAH & MAHKAMAH

Cabul anak majikan: Pembantu kedai makan mengaku tidak bersalah

MELAKA – Seorang lelaki berusia 50 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, yang juga anak kepada majikannya dalam satu kejadian yang berlaku dua minggu lalu.

Tertuduh, Mahfuz Mahmud, seorang duda dan bapa kepada lima orang anak membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Haderiah Siri, memetik laporan Kosmo! Online.

Mengikut pertuduhan, Mahfuz didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak tersebut bagi tujuan seksual di sebuah rumah di Batu 3, Kampung Duyong, Melaka Tengah, sekitar jam 11.25 pagi pada 21 Jun 2025.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, tertuduh dilaporkan telah meminta izin untuk masuk ke dalam rumah majikannya atas alasan mahu minum air.

Namun, dia kemudiannya bertindak mengunci pintu rumah, tindakan yang menimbulkan kecurigaan kepada bapa mangsa.

Bapa kanak-kanak itu kemudian memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) melalui telefon bimbitnya dan terkejut apabila menyaksikan perbuatan tertuduh terhadap anaknya, sebelum bertindak membuat laporan polis.

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Azfar Mahmud mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan syarat tambahan iaitu larangan mengganggu saksi dan keperluan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dikurangkan atas alasan berpendapatan rendah dan perlu menyara ibu serta lima anaknya.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM9,000 dengan syarat tambahan seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan dan menetapkan 29 Julai 2025 sebagai tarikh sebutan semula kes.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button