BERITA SEMASAPOLITIK

BN perlu perkukuh jentera moden, bangunkan naratif baharu hadapi PRU-16 – Zahid

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) perlu melaksanakan transformasi dalam aspek organisasi dan komunikasi dengan memperkukuh jentera politik yang moden dan dinamik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

Pengerusi BN merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha tersebut mampu dilaksanakan melalui penggunaan data, pendekatan mikro-penyasaran serta komunikasi dua hala yang berkesan.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, elemen politik yang intelektual dan bernilai amat penting memandangkan rakyat kini semakin celik dan mendambakan politik yang berisi.

Justeru itu, katanya, pemimpin perlu tampil sebagai negarawan, bukan sekadar ahli politik biasa, sejajar dengan kehendak rakyat yang mahukan politik berteraskan nilai intelektual.

“Forum yang diadakan bukan hanya untuk belajar dari luar, tetapi untuk bangunkan formula tempatan dengan semangat global.

“BN harus terus meneladani hikmah, memperbaiki pendekatan, dan membina politik nilai,” katanya ketika berucap pada ‘Better Nation Forum Siri Empat: Apa yang boleh kita pelajari dari PRU Kanada, Singapura dan Australia’ di sini hari ini.

Baca juga : PRU16: UMNO sokong cadangan kekalkan Kerajaan Perpaduan

Forum bertajuk `Apa Yang Kita Boleh Belajar Dari PRU Kanada, Singapura dan Australia’ itu dikendalikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.

Forum itu membariskan lima panelis iaitu Felo Kanan Iseas Singapura, Dr. Norshahril Saat; Timbalan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani dan Pengarah Projek Kajian Pembaharuan Pilihan Raya, Madani Research Centre, Amerul Muner Mohamad.

Turut menjadi ahli panelis ialah Profesor Kolej Rockfeller State University of New York (Suny), Profesor Dr Meredith Weiss dan Pengarah Institut Malaysia, Australia National University, Profesor Madya Dr Ross Tapsell.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, BN perlu membina naratif baharu, khususnya yang menyentuh keresahan rakyat seperti isu kenaikan harga barang, perumahan dan masa depan generasi muda.

Mengambil iktibar daripada keputusan pilihan raya umum di Singapura, Kanada dan Australia, beliau menegaskan PRU bukan soal slogan kosong, tetapi memerlukan naratif yang benar-benar mencerminkan denyut nadi rakyat.

“BN perlu kembali sebagai kekuatan yang mampu memimpin dengan kestabilan dan dasar yang menyelesaikan.

“Kunci kejayaan adalah pemulihan kepercayaan, bukan hanya menambah undi,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button