Tangani isu kos makanan, Rafizi lancar restoran Kesum
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli merasmikan pembukaan rasmi Restoran Kesum, sebuah perusahaan sosial yang diperkenalkan bagi menangani isu kenaikan harga makanan siap masak di pasaran hari ini.
Menurut beliau, penubuhan restoran itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkenalkan model perniagaan baharu berasaskan perusahaan sosial, yang menekankan keseimbangan antara keberlanjutan operasi dan matlamat sosial, bukan semata-mata keuntungan.
“Cabaran utama masyarakat sekarang ialah harga barang, khususnya makanan siap masak. Inflasi keseluruhan negara berada sekitar 1.5 hingga 2 peratus, tetapi inflasi makanan siap dimasak meningkat lebih 6 hingga 8 peratus setiap tahun,” katanya di sini hari ini.
Rafizi menjelaskan, bagi keluarga berpendapatan rendah, perbelanjaan makanan siap masak merupakan komponen terbesar dalam bajet bulanan mereka.
“Perlu ada usaha untuk menggerakkan pasaran agar tidak hanya menerima kenaikan harga secara pasif dari tahun ke tahun.
“Kita perlu mencabar status quo supaya peniaga dan pengguna tidak terus menerima harga tinggi sebagai kebiasaan. Selain dasar kerajaan, kesedaran kepenggunaan dan aktivisme pasaran perlu digerakkan,” katanya lagi.
Beliau berkata, perusahaan sosial seperti Kesum menjadi contoh bagaimana model perniagaan yang tidak berasaskan keuntungan semata-mata mampu mengekalkan operasi dengan kos lebih rendah dan harga jualan yang berpatutan.
“Matlamatnya ialah meyakinkan peniaga bahawa mereka masih boleh beroperasi dengan harga rendah tanpa menjejaskan kelangsungan perniagaan.
“Dengan sokongan pelabur yang tidak mengejar pulangan tinggi, entry cost bagi restoran seperti Kesum dapat dikurangkan,” katanya lagi.
Menurut Rafizi, kos permulaan keseluruhan operasi Restoran Kesum hanya sekitar RM90,000, jauh lebih rendah berbanding model perniagaan konvensional.
Beliau berharap inisiatif itu dapat menjadi contoh kepada lebih banyak pihak untuk memperkenalkan model perniagaan sosial yang mampu menstabilkan harga makanan serta mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






