
Nestle Malaysia raih perolehan RM1.77 bilion pada suku pertama 2025
PETALING JAYA — Nestle Malaysia Bhd memulakan tahun 2025 dengan prestasi memberangsangkan apabila mencatatkan perolehan RM1.77 bilion pada suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (S1 2025), meningkat 20.1 peratus berbanding suku keempat 2024 (S4 2024).
Peningkatan jualan merangkumi semua jenama di bawah syarikat itu, didorong kejayaan perancangan dan pelaksanaan aktiviti sempena Tahun Baru Cina serta Ramadan dan Hari Raya.
Nestle turut merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM213 juta dan keuntungan selepas cukai RM161.3 juta, lebih tiga kali ganda berbanding S4 2024. Pencapaian itu mengukuhkan hala tuju syarikat untuk kembali ke landasan pertumbuhan sihat selepas berdepan cabaran pada 2024.
Bagaimanapun, keuntungan S1 2025 sedikit rendah berbanding S1 2024 berikutan fasa awal pelaburan pemasaran serta pendekatan berhati-hati terhadap penetapan harga susulan kenaikan harga komoditi utama. Langkah itu diambil bagi melindungi kuasa beli pengguna.
Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Malaysia, Juan Aranols berkata prestasi tersebut merupakan pencapaian penting dalam usaha syarikat menormalisasi keuntungan selepas beberapa suku mencabar.
“Di sebalik ketidakstabilan pasaran dan persaingan sengit, kami melaksanakan pelan jenama yang kukuh dengan keberkesanan tinggi di semua saluran dalam talian dan luar talian.
“Kami menyaksikan prestasi kukuh sepanjang musim Tahun Baru Cina dan Ramadan/Raya merentasi semua segmen perniagaan.
“Kami berterima kasih kepada rakyat Malaysia atas sokongan berterusan terhadap jenama kami. Nestle kekal komited menghargai kepercayaan yang diberikan melalui portfolio produk yang diperakui halal, dihasilkan di Malaysia, oleh rakyat Malaysia, untuk rakyat Malaysia,” katanya memetik laporan Kosmo hari ini.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |